Skip to main content

WHO gesa pengeluaran vaksin COVID-19 dipertingkat

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa para pengeluar vaksin supaya mengongsi teknologi bagi membantu mempertingkatkan pengeluaran dalam perjuangan melawan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO gesa pengeluaran vaksin COVID-19 dipertingkat

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Feb 2021 02:42PM Dikemas Kini : 06 Feb 2021 02:47PM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa para pengeluar vaksin supaya mengongsi teknologi bagi membantu mempertingkatkan pengeluaran dalam perjuangan melawan COVID-19.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran bahawa tanpa akses kepada vaksin, usaha melawan wabak tersebut akan terkulai.

Menurutnya lagi, jumlah vaksin COVID-19 yang diberikan kini telah mengatasi 100 juta jangkitan yang dilaporkan di seluruh dunia.

Walaupun ia satu berita baik, beliau menyuarakan kebimbangan selepas lebih 75 peratus vaksin diberikan hanya kepada 10 negara mewah.

"Sesetengah negara sudah memvaksin sebilangan besar penduduk mereka yang berisiko rendah mengalami penyakit kronik atau kematian," katanya, tanpa memperincikan contoh secara khusus.

Pada masa yang sama, "hampir 130 negara dengan 2.5 bilion penduduk, masih belum memberikan sebarang dos," katanya.

Program COVAX yang disokong WHO dengan matlamat untuk memastikan akses yang saksama dan adil bagi pengagihan vaksin COVID-19 di seluruh dunia, dijangka memulakan penghantarannya pada hujung bulan ini.

Namun, Encik Tedros memberi amaran bahawa pengedaran vaksin secara tidak seimbang ketika ini boleh mencetuskan risiko terhadap kemajuan usaha melawan pandemik tersebut.

"Selagi kita belum berjaya membendung virus itu di seluruh dunia, kita mungkin boleh kembali ke titik permulaannya," katanya.

Justeru, beliau menggesa negara-negara dunia supaya "berkongsi vaksin selepas masing-masing selesai memberikannya kepada para petugas jagaan kesihatan dan warga emas".

Pada masa yang sama juga, Encik Tedros menegaskan, para pengeluar vaksin perlu bertanggungjawab untuk memainkan peranan yang lebih besar.

"Terdapat keperluan untuk meningkatkan pengeluaran secara besar-besaran," katanya.

Beliau menyarankan beberapa langkah yang boleh diambil untuk mempertingkatkan penghasilan vaksin.

Antaranya, mengeluarkan "lesen tidak eksklusif bagi membolehkan pengeluar lain menghasilkan vaksin mereka" - langkah yang pernah dilakukan sebelum ini yang bertujuan untuk memperluaskan akses kepada rawatan HIV dan Hepatitis C.

Sehubungan itu, Encik Tedros memuji syarikat-syarikat seperti Sanofi dan Novartis yang memaklumkan kesediaan mereka untuk menggunakan infrastruktur masing-masing bagi membantu menghasilkan vaksin Pfizer-BioNTech, yang mendorong syarikat-syarikat lain supaya mencontohi langkah seumpama itu.

Beliau turut menggesa perkongsian data dan teknologi secara sukarela bagi membolehkan "penggunaan segera kapasiti pengeluaran yang belum dimanfaatkan serta membantu membina pangkalan pengeluaran tambahan, khususnya di Afrika, Asia dan Amerika Latin."  

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita