WHO gesa pengeluar vaksin COVID-19 pastikan harga kekal rendah, berpatutan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu (4 Ogos) menggesa syarikat pengeluar vaksin COVID-19 supaya memastikan harga vaksinnya rendah dan berpatutan. Gesaan itu dibuat berikutan laporan bahawa dua syarikat pengeluar akan menaikkan kos yang dikenakan ke atas Kesatuan Eropah (EU).
Papan tanda Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). (Gambar: AFP)
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu (4 Ogos) menggesa syarikat pengeluar vaksin COVID-19 supaya memastikan harga vaksinnya rendah dan berpatutan. Gesaan itu dibuat berikutan laporan bahawa dua syarikat pengeluar akan menaikkan kos yang dikenakan ke atas Kesatuan Eropah (EU).
Menurut laporan, Pfizer-BioNTech dan Moderna akan menaikkan harga bagi vaksin mRNA kerana ia sudahpun menyesuaikan vaksin-vaksinnya kepada varian baru koronavirus itu.
Harga vaksin Pfizer akan melonjak daripad 15.5 euro kepada 19.5 euro (S$25 - S$31) manakala vaksin Moderna pula meningkat kepada 21.5 euro (S$30 - S$34) dari 19 euro. Akhbar Britain, Financial Times, mendedahkan demikian pada Ahad, menukil maklumat daripada kontrak yang dimuktamadkan bersama EU.
Penolong Ketua Pengarah WHO bagi akses kepada ubat-ubatan, vaksin dan farmaseutikal Mariangela Simao, memberitahu satu sidang media pada Rabu: "Amat penting bagi syarikat-syarikat itu mempunyai dasar untuk meletakkan harga berpatutan."
Beliau berkata kedua-dua Pfizer dan Moderna sudahpun meningkatkan kapasiti dan kecekapan pengeluarannya serta menambah kilang.
"Dalam keadaan pasaran normal, ini biasanya membawa kepada harga lebih rendah, bukan sebaliknya.
"Kita mempunyai pasaran di mana permintaan sangat tinggi berbanding pengeluaran.
"WHO menggesa syarikat-syarikat ini supaya terus memastikan harga kekal rendah dan berpatutan."
Menurut maklumat AP berdasarkan sumber-sumber rasmi, separuh penduduk EU sudah lengkap menerima suntikan vaksin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.