Skip to main content

WHO gesa "kewaspadaan ekstrim" sedang banyak negara longgarkan sekatan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji negara-negara yang menyaksikan penurunan jangkitan dan angka korban akibat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO gesa "kewaspadaan ekstrim" sedang banyak negara longgarkan sekatan

Lambang Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di ibu pejabatnya di Geneva (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 12 May 2020 10:29AM Dikemas Kini : 12 May 2020 10:31AM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji negara-negara yang menyaksikan penurunan jangkitan dan angka korban akibat COVID-19.

Bagaimanapun, ia menggesa negara-negara supaya mengamalkan kewaspadaan ekstrim terutama apabila sekatan-sekatan mula dilonggarkan.

Banyak negara di Eropah memulakan proses panjang untuk membuka semula ekonomi dan masyarakat selepas COVID-19 pada Isnin (11 Mei) dengan para pegawai di negara-negara seperti Perancis dan Sepanyol berani membuat langkah sedemikian setelah kemerosotan dalam angka kematian.

"Berita baiknya adalah kejayaan besar dalam memperlahankan penularan virus dan lebih ramai nyawa terselamat," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom semasa sidang media maya.

Sementara itu, Ketua Kecemasan WHO Michael Ryan menyetujui pandangan itu dan melihat langkah menarik balik sekatan secara berperingkat sebagai satu tanda 'harapan'.

Namun, beliau memberi amaran bahawa "tahap kewaspadaan yang ekstrim diperlukan".

Lebih 280,000 orang daripada kira-kira empat juta penduduk seluruh dunia yang dijangkiti COVID-19, telah meninggal dunia.

Sedang langkah-langkah mendadak oleh banyak negara membantu membendung penularan virus itu, masih wujud kebimbangan meluas akan kemunculan gelombang jangkitan besar selepas ini.

Justeru, Encik Ryan mendesak negara-negara supaya terus peka meningkatkan kesiapsiagaan kesihatan awam supaya kes-kes baru boleh dikenalpasti dan semua hubungan rapat kes dikesan dan diasingkan, yang kata beliau dapat membantu "menghindari gelombang besar kedua".

Bagaimanapun, beliau memberi amaran walaupun "banyak negara sudah membuat pelaburan sangat sistematik dalam membangunkan keupayaan kesihatan awam sepanjang pelaksanaan sekatan, ada negara-negara lain belum berbuat demikian."

"Sekiranya jangkitan berlanjutan di negara-negara tanpa keupayaan untuk menyiasat kelompok, mengenal pasti kelompok, risiko untuk penyakit itu kembali lagi akan sentiasa ada," ujarnya.

Tanpa menyebut mana-mana negara, Encik Ryan mendakwa ada negara bersikap tidak endah pada peringkat awal dengan tidak meningkatkan keupayaannya untuk menjalankan ujian dan pengesanan kes sedangkan ia mempunyai peluang itu.

WHO memberi amaran menentang tanggapan di beberapa negara bahawa walaupun ia tidak mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menghentikan penularan virus, pendudukanya akan dengan cepat membentuk apa yang disebutkan sebagai "kekebalan berkelompok".

"Kajian serologi awal menunjukkan peratusan penduduk yang mempunyai antibodi terhadap COVID-19 adalah rendah," kata Dr Tedros sekali gus menekankan bahawa ini bemakna kebanyakan penduduk masih terdedah dan berisiko dijangkiti virus itu.

Beliau menambah lebih 90 kajian serologi itu, yang mendedahkan antibodi dalam darah bagi menentukan sama ada seseorang mempunyai sejarah jangkitan masa lalu, sedang dijalankan di beberapa negara.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita