Skip to main content

Iklan

Iklan

Warga emas teruja rasai bubur lambuk resepi Istana

Biarpun tidak dapat bersua muka menatap wajah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara dekat pada Jumaat (24 Mei), namun warga emas di Darul Hanan Pulau Pinang tetap teruja dan gembira apabila dapat merasai sendiri bubur lambuk resepi dari Istana Pahang.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga emas teruja rasai bubur lambuk resepi Istana

Dr Wan Azizah meluangkan masa memasak bubur lambuk istimewa untuk penghuni Darul Hanan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 May 2019 01:35AM Dikemas Kini : 25 May 2019 01:41AM

KEPALA BATAS: Biarpun tidak dapat bersua muka menatap wajah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara dekat pada Jumaat (24 Mei), namun warga emas di Darul Hanan Pulau Pinang tetap teruja dan gembira apabila dapat merasai sendiri bubur lambuk resepi dari Istana Pahang.

Pengerusi Darul Hanan Pulau Pinang, Jahara Hamid, berkata biarpun Raja Permaisuri Agong tidak dapat menghadiri majlis yang dijadualkan untuk memasak sendiri bubur lambuk hasil resepinya, penghuni Darul Hanan turut berpeluang merasai bubur lambuk itu menerusi resepi yang diberikannya.

"Saya bersyukur Darul Hanan dipilih oleh Tuanku. Kita turut bersedih di atas kemangkatan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah. Namun kita tetap menaruh harapan suatu hari nanti Raja Permaisuri Agong akan tetap ke sini.

"Bagaimanapun, kita tetap berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana sudi datang pada majlis ini," katanya kepada para wartawan selepas Program Salam Ramadan ke Pusat Penjagaan Warga Emas Darul Hanan di Pongsu Seribu, Kepala Batas di Pulau Pinang.

RESIPI UNIK BUBUR LAMBUK

Menyentuh mengenai juadah istimewa bubur lambuk itu, Cik Jahara berkata ia amat unik kerana menggunakan bahan yang tidak pernah digunakan dalam memasak bubur lambuk biasa.

"Walaupun baginda tidak dapat datang, tetapi kita semua tetap dapat merasa resepi dari Istana Pahang yang sangat unik. Resepi itu sangat unik kerana bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam bubur itu kita tidak pernah digunakan dalam bubur biasa.

"Bagi bubur resepi istana ini bahan-bahan yang dimasukkan adalah pucuk paku merah, rempah-ratus terutama sekali herba-herba tempatan yang sememangnya awet muda, daun kunyit, daun kaduk, cekur manis, daun kesom, ikan tenggiri, udang serta ayam. Walaupun tuanku tidak dapat hadir, semangatnya ada bersama kita menerusi resepi yang diberi," katanya.

Semasa majlis itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat turut meluangkan masa memasak bubur lambuk istimewa untuk penghuni Darul Hanan. Turut hadir ialah timbalannya, Hannah Yeoh.

700 BUNGKUS BUBUR LAMBUK DIHASILKAN

Sebanyak 20 kilogram beras digunakan untuk memasak bubur lambuk itu melibatkan dua periuk besar yang mampu menghasilkan 700 bungkus bubur lambuk.

Sepanjang program itu, Timbalan Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat pusat itu dan menyantuni penghuni yang menetap di pusat berkenaan.

Bagi Maznah Shariff, 64 tahun, beliau turut menzahirkan rasa teruja apabila dapat merasai keenakan bubur lambuk resepi Raja Permaisuri Agong yang turut dimasak oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Seronok sangat hari ini, tidak sabar nak rasa bubur lambuk ini. Saya juga gembira dapat bertemu secara dekat dengan Timbalan Perdana Menteri yang turut turun padang memasak bubur lambuk biarpun sibuk dengan tugasan kerjanya yang padat," katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan