Wanita 80 tahun maut akibat COVID-19; korban ke-5 dalam 6 hari
Seorang wanita rakyat Singapura yang berusia 80 tahun meninggal dunia pada Sabtu (7 Ogos) akibat komplikasi yang disebabkan oleh COVID-19, dedah Kementerian Kesihatan (MOH).
Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: TODAYonline)
SINGAPURA: Seorang wanita rakyat Singapura yang berusia 80 tahun meninggal dunia pada Sabtu (7 Ogos) akibat komplikasi yang disebabkan oleh COVID-19, dedah Kementerian Kesihatan (MOH).
Wanita tersebut mengalami gejala-gejala COVID-19 pada 21 Julai dan dibawa ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dua hari kemudian selepas diuji positif koronavirus.
Beliau belum divaksin sebelum ini dan mempunyai sejarah kencing manis, tekanan darah tinggi dan pemfibrilian atrium, menurut kementerian itu dalam kemas kininya tentang situasi COVID-19 di negara ini.
Pemfibrilian atrium adalah sakit jantung yang menyebabkan kadar degupan jantung tidak normal yang pantas.
Ia merupakan kematian kelima akibat jangkitan COVID-19 sepanjang enam hari yang lalu, selepas seorang lelaki warga Ukraine berusia 34 tahun maut pada Ahad, disusuli oleh kematian wanita rakyat Singapura berusia 58 tahun pada Isnin, seorang lelaki berumur 79 tahun pada Rabu dan seorang lelaki 63 tahun pada Khamis.
Sejauh ini 42 individu tewas kepada jangkitan koronavirus.
Pada Sabtu, Singapura melaporkan 75 kes baru COVID-19, sekali gus membawa jumlah terkumpul kepada sebanyak 65,680 kes sejak wabak itu menular pada tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.