Virus COVID-19 boleh kekal bertahan di pelitup selama seminggu
Virus korona COVID-19 mampu bertahan sehingga empat hari pada permukaan keluli tahan karat dan plastik, dan pada lapisan luar pelitup selama seminggu, menurut satu kajian oleh para penyelidik dari Universiti Hong Kong (HKU).

(Gambar fail: TODAY)
HONG KONG: Virus korona COVID-19 mampu bertahan sehingga empat hari pada permukaan keluli tahan karat dan plastik, dan pada lapisan luar pelitup selama seminggu, menurut satu kajian oleh para penyelidik dari Universiti Hong Kong (HKU).
Pasukan itu juga mendapati bahawa cecair pembasmi kuman yang biasa digunakan di rumah, termasuk bahan pemutih pakaian atau bleach, berkesan dalam "membunuh" virus COVID-19.
Laporan itu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada Khamis ( 2 Apr)
merupakan satu lagi kajian mengenai kemantapan virus yang nama rasminya ialah SARS-CoV-2.
Ia juga menjelaskan apa yang boleh dilakukan untuk mencegah penularan virus tersebut.
Menurut penyelidik dari HKU: "SARS-Cov-2 amat stabil dalam persekitaran yang sesuai, tetapi ia juga mudah terancam kepada kaedah pembasmian kuman."
Mereka juga menguji sejauh mana virus itu dapat mengekalkan ciri-ciri mudah berjangkit dalam suhu bilik biasa di pelbagai permukaan.
Mereka mendapati pada kertas cetak dan tisu, virus tersebut dapat bertahan selama kurang dari tiga jam.
Pada permukaan kayu dan kain seperti kain kapas yang digunakan untuk jaket bilik makmal pula virus itu tidak bertahan lebih sehari.
Virus itu bertahan lebih lama pada kaca dan wang kertas - antara dua hingga empat hari, dan lebih lama lagi pada permukaan keluli tahan karat dan plastik selama empat hingga tujuh hari.
"Amat mengejutkan" kata penyelidik berkenaan setelah virus itu masih dapat dikesan pada lapisan luar pelitup selepas tujuh hari.
"Inilah sebab mengapa amat penting jika anda menggunakan pelitup, anda tidak harus menyentuh lapisan luarnya," kata pasukan penyelidik itu.
"Jika anda ingin lindungi diri anda, amalkan kebersihan diri yang baik, sering cuci tangan anda dan cuba elak daripada menyentuh muka, mulut atau hidung anda tanpa membersihkan tangan anda dahulu," kata seorang anggota penyelidik itu.
Bagi mereka yang sangat prihatin mungkin boleh meninggalkan barang-barang yang tidak mudah rosak di dalam beg membeli-belah mereka di dapur selama sehari sebelum memegangnya, kata beliau.
"Namun mesej paling penting ialah cuci tangan anda!"ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.