Varian Delta mungkin merebak lebih pantas; agensi kesihatan EU gesa anggota percepat pemberian vaksin
Varian Delta yang lebih mudah berjangkit mungkin menyumbang kepada 90 peratus kes baru COVID-19 di Kesatuan Eropah (EU) tidak lama lagi, menurut agensi kawalan penyakit blok itu pada Rabu (23 Jun).
Seorang pesakit mengambil ujian swab COVID-19 di sebuah pusat ujian di Dunkirk, Perancis, pada 18 Februari 2021. (Gambar fail: Pascal Rossignol/REUTERS)
STOCKHOLM: Varian Delta yang lebih mudah berjangkit mungkin menyumbang kepada 90 peratus kes baru COVID-19 di Kesatuan Eropah (EU) tidak lama lagi, menurut agensi kawalan penyakit blok itu pada Rabu (23 Jun).
Ia menggesa negara-negara anggota supaya meningkatkan kadar vaksinasi masing-masing
Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah menyatakan meskipun varian Alpha yang pertama kali dikesan di United Kingdom (UK) adalah jenis yang paling dominan di EU pada masa ini, keadaan dijangka berubah dengan cepat.
"Ada kemungkinan besar varian COVID-19 Delta akan merebak dengan lebih pantas pada musim panas ini, khususnya dalam kalangan individu muda yang tidak disasarkan untuk suntikan vaksin," kata Andrea Ammon, pengarah pusat tersebut, dalam satu kenyataan.
Varian Delta yang kali pertama dikesan di India lebih mudah berjangkit berbanding varian lain dan dijangka menyumbang kepada 90 peratus kes baru di EU menjelang hujung Ogos ini.
Amaran pusat itu dikeluarkan selepas Rusia memberi amaran tentang lonjakan mendadak kes jangkitan yang diburukkan lagi oleh kadar pengambilan vaksin yang rendah.
UK juga melihat varian Delta menjadi dominan tetapi berjaya dibendung hasil kempen vaksinasi yang berjaya, dengan 82.5 peratus dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan dan 60 peratus lagi sudah divaksin sepenuhnya.
"Amat penting untuk meningkatkan pemberian vaksin dengan lebih cepat" untuk menghentikan penyebaran varian tersebut dan mengurangkan kesan kesihatan akibat virus itu, menurut pusat tersebut.
Data pusat itu menunjukkan bahawa setakat ini kira-kira 30 peratus individu berusia 80 tahun ke atas dan 40 peratus yang berusia 60 tahun ke atas di EU masih tidak mendapat vaksin sepenuhnya..
"Pada peringkat ini amat penting suntikan dos kedua vaksin diberikan ... untuk mempercepatkan kadar vaksinasi bagi melindungi golongan yang mudah terdedah," kata Cik Ammon.
Pusat itu menganggarkan bahawa varian COVID-19 Delta (B.1.617.2) adalah 40 peratus hingga 60 peratus lebih mudah berjangkit berbanding varian Alpha (B.1.1.7).
"Malangnya, data awal menunjukkan ia boleh juga menjangkiti individu yang sudah menerima hanya satu dos daripada vaksin yang sekarang," kata Cik Ammon.
"Berita baiknya adalah dua dos dari mana-mana vaksin yang disediakan pada waktu ini akan dapat memberikan perlindungan yang tinggi," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.