Skip to main content

Iklan

Iklan

Varian Delta melonjak, UK gesa wanita hamil divaksinasi

Pihak berkuasa kesihatan Britain menggesa lebih ramai wanita hamil mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 selepas satu kajian  kebangsaan mendapati varian Delta boleh meningkatkan risiko mendapat gejala koronavirus lebih serius.

Anggaran Waktu Membaca:
Varian Delta melonjak, UK gesa wanita hamil divaksinasi

Seorang wanita hamil. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 31 Jul 2021 10:21PM Dikemas Kini : 31 Jul 2021 10:22PM

LONDON: Pihak berkuasa kesihatan Britain menggesa lebih ramai wanita hamil mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 selepas satu kajian kebangsaan mendapati varian Delta boleh meningkatkan risiko mendapat gejala koronavirus lebih serius.

Ketua pegawai perbidanan bagi England, Jacqueline Dunkley-Bent, pada Jumaat (30 Jul) menulis kepada pengamal perubatan am dan bidan untuk menggesa mereka agar menggalak wanita hamil mendapatkan suntikan vaksin. Ini kerana data baru menunjukkan peningkatan penyakit yang teruk dalam kalangan wanita hamil yang dimasukkan ke hospital dengan simptom COVID-19.

Menurutnya vaksinasi penting demi "melindungi nyawa ibu dan anak dalam kandungan".

Kolej Diraja Obstetrik dan Pakar Sakit Puan (RCOG) serta Kolej Bidan Diraja (RCM) turut mengesyorkan vaksinasi untuk wanita hamil.

Kesihatan Awam England menyatakan pihaknya mengesyorkan wanita hamil mendapatkan vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech kerana ia sudah diberikan kepada lebih 130,000 wanita hamil di Amerika Syarikat (AS).

Satu kajian berdasarkan data kebangsaan yang dihimpunkan oleh Sistem Pengawasan Obstetrik United Kingdom (UK), diterbitkan pada 25 Julai lalu, mendapati jumlah wanita hamil yang dimasukkan ke hospital dengan simptom sederhana sehingga teruk meningkat secara mendadak selepas varian Delta menjadi dominan pada Mei.

Kertas kajian yang diterbitkan oleh kumpulan penyelidik Universiti Oxford mendapati wanita hamil yang dimasukkan ke hospital ketika gelombang varian Delta cenderung untuk mendapat radang paru-paru dan memerlukan sokongan pernafasan.

"Sangat membimbangkan bahawa jumlah wanita hamil yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 terus meningkat dan mereka nampaknya lebih teruk terjejas kesan jangkitan varian Delta," kata Ketua Penyelidik Kajian Marian Knight, seorang profesor kesihatan ibu mengandung dan kanak-kanak di Universiti Oxford.

Menurut kajian itu lagi, tidak seorang pun daripada lebih 3,000 ibu hamil yang dimasukkan ke hospital dengan simptom virus itu sejak Februari lalu menerima vaksinasi lengkap.

Kajian itu tidak meninjau ibu hamil yang mengalami jangkitan ringan yang dirawat di luar hospital.

Ketua vaksin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Kate O'Brien berkata minggu ini bahawa keadaan seseorang yang hamil terbukti meningkatkan risiko penyakit teruk.

UK mengesyorkan wanita hamil divaksinasi sejak April lalu bagaimanapun, kadar suntikan masih amat rendah berbanding penduduk am. Menurut kertas kajian itu, ini kerana pelbagai faktor termasuk penyebaran maklumat tidak tepat pada permulaan pelancaran program vaksinasi.

"Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak bagi masyarakat antarabangsa untuk menangani isu maklumat tidak tepat dan menambah baik kadar vaksinasi bagi wanita hamil," menurutnya.

Tinjauan RCOG pada Mei mendapati 58 peratus wanita hamil menolak untuk divaksinasi dengan kebanyakan daripada mereka bimbang ia akan membahayakan bayi dalam kandungan atau mereka masih menantikan lebih banyak maklumat berkaitan keselamatan.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan