Urusan Kemasukan Awal ITE, Politeknik dibuka pada Mei dan Jun; proses pemilihan disesuaikan dek COVID-19
Para pelajar yang ingin memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE) bagi tahun 2021 boleh berbuat demikian mulai Rabu (27 Mei).

Kolej Barat ITE. (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Para pelajar yang ingin memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE) bagi tahun 2021 boleh berbuat demikian mulai Rabu (27 Mei).
Urusan Kemasukan Awal (EAE) untuk kelima-lima politeknik juga akan dijalankan pada bulan Jun meskipun di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Disebabkan oleh penguatkuasaan langkah-langkah jarak selamat, sebahagian besar EAE akan dilakukan melalui kaedah elektronik, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan pada Isnin (18 Mei). Ini termasuk temu ramah online dan penyerahan portfolio menerusi emel.
Sungguhpun demikian, "pemilihan di kampus masih perlu dilakukan bagi sesetengah kursus, di mana proses pemilihan tidak dapat dilakukan secara online," menurut MOE.
Contoh kursus-kursus sedemikian termasuk Nitec dalam jurusan Kejururawatan dan Nitec Lanjutan bagi Pengeluaran Prestasi, serta kursus diploma di Politeknik Nanyang bagi jurusan Terapi Kesihatan Mulut, di mana ujian kecekapan akan dijalankan untuk calon yang sudah disenarai pendek.
"Bagi pemohon yang perlu datang ke kampus, politeknik dan ITE akan memastikan langkah-langkah sewajarnya dilaksanakan," tambah MOE.
Langkah-langkah tersebut akan merangkumi ruang penilaian yang diasingkan dan memperuntukkan tempat menunggu untuk mengelakkan interaksi dalam kalangan pemohon. Jumlah pemohon yang dijangka datang ke kampus untuk pemilihan EAE adalah "rendah."
"EAE adalah laluan penting yang mengambil kira kecenderungan dan minat pelajar, menjangkaui gred akademik," tambah kementerian itu, sambil menjelaskan keputusannya untuk tidak menangguhkan EAE.
"Institusi-institusi akan melakukan penyesuaian yang sewajarnya pada proses penilaian dan kriteria untuk mengambil kira perubahan pada format pemilihan tahun ini.
"Mereka juga akan terus mendokumentasikan proses pemilihan EAE, termasuk merakam temu ramah jika perlu dan penilaian dibuat oleh panel-panel pemilihan."
Institusi-institusi juga akan terus memantau penularan COVID-19 dan memudahkan proses pemilihan di kampus untuk lebih banyak kursus sekiranya keadaan mengizinkan, tambah MOE.
MOE minggu lalu mengumumkan penyesuaian serupa bagi Urusan Kemasukan Sekolah Langsung (DAE) untuk pemohon sekolah menengah dan maktab rendah, yang sudah beralih sepenuhnya ke alam siber.
SOKONGAN IT
Para pelajar dari latar belakang kurang bernasib baik yang mengalami kesulitan dengan proses pemilihan online EAE akan mendapat sokongan daripada ITE dan politeknik.
"Pelajar yang memerlukan sokongan tambahan bagi proses online juga boleh menghubungi sekolah mereka untuk mendapatkan bantuan," dedah MOE.
"Sebagai contoh, temu duga dan penilaian dalam talian boleh dilakukan di sekolah dan bukan di rumah, dengan peralatan IT dipinjam dari pihak sekolah. Kakitangan sekolah juga akan hadir untuk memberikan sokongan teknikal jika perlu."
Pelajar yang ingin mendapatkan kemasukan awal ke ITE boleh melakukannya melalui portal online dari 27 Mei hingga 3 Jun. Bagi politeknik, permohonan untuk pelajar tahun akhir ITE dan pelajar GCE Peringkat O masing-masing boleh dilakukan secara online dari 11 Jun hingga 17 Jun dan dari 25 Jun hingga 1 Jul.
Di bawah EAE, pemohon yang berjaya akan diberikan tawaran bersyarat sebelum mereka mendapat keputusan peperiksaan mereka.
Pemohon dewasa yang bekerja boleh mendaftar secara online dari 8 Jun hingga 5 Jul untuk memasuki politeknik. Mereka akan dinilai berdasarkan rekod pekerjaan dan saranan majikan selain gred akademik mereka.
Pemohon yang berminat boleh melungsuri laman web MOE untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai EAE ITE dan EAE politeknik.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.