Skip to main content

Iklan

Iklan

Undang-undang antidiskriminasi dialukan tapi anjakan minda, sikap juga penting

Ahad lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan bahawa Singapura akan menjadikan garis panduan sedia ada tentang antidiskriminasi di tempat kerja sebagai satu undang-undang baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang antidiskriminasi dialukan tapi anjakan minda, sikap juga penting

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 03 Sep 2021 11:30AM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 11:39AM

SINGAPURA: Ahad lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan bahawa Singapura akan menjadikan garis panduan sedia ada tentang antidiskriminasi di tempat kerja sebagai satu undang-undang baru.

Beliau juga mengumumkan bahawa sebuah tribunal akan ditubuhkan untuk menangani diskriminasi di tempat kerja berdasarkan kerakyatan, jantina, kaum, usia, agama dan ketidakupayaan.

Belum lagi ada perincian mengenai bilakah undang-undang tersebut akan dikuatkuasakan dan apa yang akan dilindungi di bawah tribunal tersebut. Oleh itu, bagi sesetengah pekerja, ia belum jelas apa yang akan berubah.

Cik Sabrina Ho, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Half the Sky, sebuah platform kerjaya bagi wanita, berkata bahawa "konsep lama" mengenai tatatingkat berdasarkan jantina "tersemat dalam kesedaran masyarakat".

Banyak syarikat cenderung bersikap diskriminasi terhadap wanita untuk mengelak daripada membayar faedah bersalin dan juga kerana menganggap kehamilan menyebabkan wanita tidak dapat bekerja, tambah beliau.

Satu lagi isu yang perlu ditangani adalah gaji yang tidak sama rata antara lelaki dengan wanita di tangga kerja yang sama, kata Cik Ho lagi.

"Namun, apabila ia berhubung stereotaip berdasarkan jantina, penggubalan undang-undang mungkin tidak dapat mengatasinya dengan mudah kerana ia telah berakar umbi dalam struktur-struktur masyarakat yang memperkukuhkan lagi idea-idea ketidaksamarataan jantina," ujar beliau.

Pola fikiran dan perspektif terhadap wanita perlu diubah untuk menyediakan "peluang sama rata kepada semua jantina", saran Cik Ho.

Encik Johnson Paul, CEO Dewan Perniagaan dan Perusahaan India Singapura pula berkata diskriminasi berdasarkan kaum dalam persekitaran korporat semakin meningkat.

Tetapi beliau menarik perhatian bahawa mendidik dan menyebar kesedaran adalah lebih penting berbanding "mengawal kesan dan padahnya".

"Undang-undang dan tribunal sebenar-benarnya adalah untuk menghuraikan pertikaian, bukan untuk menangani prasangka yang sudah mendarah daging... Undang-undang yang jelas mampu dikuatkuasakan tetapi ia juga boleh dipintas dan disalah tafsir."

Encik Abhimanyau Pal, CEO SPD, sebuah badan amal yang berkhidmat untuk golongan kurang upaya di Singapura berkata bahawa langkah menjadikan garis panduan antidiskriminasi satu undang-undang adalah langkah paling kukuh yang diambil pemerintah sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini untuk melindungi para pekerja terpinggir daripada didiskriminasi.

Tetapi beliau juga berpandangan hanya undang-undang sahaja mungkin tidak mencukupi untuk memastikan pengambilan pekerja yang inklusif dan saksama.

Sebilangan syarikat mungkin akan memilih untuk sama sekali tidak menggajikan sesetengah pemohon untuk mengelak daripada melanggar undang-undang.

"Bagi penggubalan undang-undang menjadi berkesan, ia harus seiring dengan pendidikan sekarang ini bagi mengubah minda dan sikap terhadap amalan kerja yang inklusif," kata Cik Linda Teo, pengurus daerah ManpowerGroup Singapore.

Namun begitu, undang-undang memberi rangka kerja yang jelas tentang apa yang dianggap sebagai amalan diskriminasi, tambahnya.

Dengan itu, para majikan dan pekerja juga akan lebih memahami tanggungjawab dan hak masing-masing serta apa yang harus dilakukan mereka agar bertindak adil dan bertanggungjawab.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan