Skip to main content

Iklan

Iklan

Umat Islam S'pura mula berpuasa pada Jumaat, 24 Apr

Umat Islam di Singapura akan memulakan ibadah puasa esok, Jumaat (24 Apr). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Apr 2020 06:41PM Dikemas Kini : 23 Apr 2020 09:27PM

SINGAPURA: Umat Islam di Singapura akan memulakan ibadah puasa esok, Jumaat (24 Apr).

Demikian disahkan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini.

Berikut adalan pengumuman Ustaz Dr Nazirudin mengenai awal Ramadan dan perutusan ringkas beliau sempena bulan puasa ini iaitu yang pertama buat beliau sejak dilantik menjadi Mufti Negara pada 1 Mac lalu.

Muslim muslimat yang saya kasihi sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Mengikut kiraan hisab, anak bulan ada di ufuk Singapura setelah matahari terbenam petang tadi selama 17 minit.

Sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan jatuh pada esok, Jumaat, bersamaan 24 April 2020.

Kita menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak dalam suasana yang sangat luar biasa. Negara kita, bahkan seluruh dunia, sedang memerangi penularan wabak COVID-19.

Di samping kita menjalani ibadah puasa, kita juga memainkan peranan yang sangat ketara dengan duduk di rumah untuk mengelakkan jangkitan virus yang merbahaya ini.

Maka tahun ini, kita akan menyambut Ramadan dan Hari Raya tahun ini bersama keluarga di rumah masing-masing.

Seberat mana sekalipun ujian ini, kita mampu menerima dan mengatasinya dengan izin Allah S.W.T. Apatah lagi dengan ketibaan Ramadan yang sememangnya satu bulan perjuangan, dan kemuncak kesabaran, ketabahan dan pengharapan.

Saya mengajak anda sekalian untuk menggunakan kekuatan iman dan kerohanian yang dibina di dalam Ramadan untuk membulatkan tekad kita mengalahkan musuh virus ini.

Yakinilah, ujian ini juga akhirnya akan berlalu. Berkat kesabaran dan perpaduan, kita akan berjaya dan bersama mengatasinya.
Saya berdoa agar Allah S.W.T. merahmati keluarga anda, dan menerima segala amal kebaikan yang anda usahakan untuk menghidupkan Ramadan yang istimewa ini.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa