Skip to main content

Iklan

Iklan

Umat Islam M'sia jalani ibadah puasa dalam PKP; kepatuhan masyarakat amat penting, tegas Dr Noor Hisham

Ramadan semakin hampir dan umat Islam di Malaysia pastinya akan menyambut ketibaan bulan suci itu dalam suasana berbeza tahun ini apabila perlu melalui ibadah puasa dalam tempoh pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April.

Anggaran Waktu Membaca:
Umat Islam M'sia jalani ibadah puasa dalam PKP; kepatuhan masyarakat amat penting, tegas Dr Noor Hisham

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Apr 2020 10:35AM Dikemas Kini : 21 Mar 2023 09:54PM

KUALA LUMPUR: Ramadan semakin hampir dan umat Islam di Malaysia pastinya akan menyambut ketibaan bulan suci itu dalam suasana berbeza tahun ini apabila perlu melalui ibadah puasa dalam tempoh pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April.

Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia ditetapkan esok (23 Apr), bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.

Menariknya, umat Islam akan menyambutnya dengan suasana norma baru, antaranya melalui e-bazar tanpa ada bazar Ramadan fizikal lagi seperti saban tahun demi memerangi penularan wabak COVID-19. Jika tempoh PKP tidak dilanjutkan sekalipun, keadaan tahun ini sudah pasti tetap berbeza.

Selain itu, tahun ini juga tiada solat tarawih berjemaah di surau atau masjid kerana ia antara usaha penting memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang media hariannya semalam berkata kepatuhan masyarakat terhadap PKP adalah amat penting dalam membantu kerajaan menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti.

Ini terutama bagi memastikan tidak berlaku jangkitan rentas negeri, daerah dan mukim, malah pematuhan masyarakat terhadap PKP akan seterusnya memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya.

Jika diimbas kembali, kes COVID-19 di Malaysia sejak beberapa hari lalu kekal di bawah 100 kes dan lebih banyak kes pulih dilaporkan, namun menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, ia tidak bermakna orang ramai boleh melanggar segala peraturan PKP.

Semalam, beliau yang juga Menteri Pertahanan, mengingatkan segala peraturan selama ini masih terus kekal dan pematuhan kepada peraturan berkenaan perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.

Seharusnya perkembangan baik ini boleh dijadikan perkara positif supaya pihak berkuasa dapat bertindak dengan lebih tegas lagi untuk memastikan masyarakat terus mematuhi setiap arahan PKP.

Sikap penduduk Malaysia dalam mematuhi arahan tersebut akan menentukan sejauh mana PKP akan dilaksanakan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam menzahirkan penghargaan kepada hero alaf baru ini yang memainkan watak penting sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan dunia dalam menangani penularan COVID-19.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan