Ujian khas COVID-19 dijalankan di Redhill & Tiong Bahru
Operasi ujian khas dilancarkan pada Jumaat (18 Jun) ke atas semua pekerja dan penyewa sejumlah kedai di Redhill dan Tiong Bahru sedang pihak berkuasa mengejar masa untuk mengesan penularan dalam masyarakat di kawasan-kawasan tersebut.
Tapak ujian sementara di 2D Boon Tiong Road bagi pekerja dan penyewa yang bekerja di 8 Jln Membina serta Pasar Tiong Bahru (Gambar: Lee Li Ying)
SINGAPURA: Operasi ujian khas dilancarkan pada Jumaat (18 Jun) ke atas semua pekerja dan penyewa sejumlah kedai di Redhill dan Tiong Bahru sedang pihak berkuasa mengejar masa untuk mengesan penularan dalam masyarakat di kawasan-kawasan tersebut.
Ia dijalankan sehari selepas lebih banyak kes positif disahkan di kawasan kejiranan Tiong Bahru termasuk satu kes tanpa hubung kait.
Para pekerja dan penyewa di lapan lokasi terjejas akan menjalani ujian swab sepanjang dua hari di tapak-tapak yang dikhususkan di Bukit Merah termasuk sebuah tapak sementara di 2D Boon Tiong Road dan 84A Redhill Lane.
Ujian wajib juga dilanjutkan bagi semua pemilik gerai dan pekerja di Pasar dan Pusat Penjaja Tiong Bahru setelah seorang pesakit COVID-19 mengunjungi 18 Jalan Membina.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Tanjong Pagar, berkata ia adalah satu langkah berjaga-jaga dan tiada kes dikesan di pasar Tiong Bahru.
“Blok 18 Jalan Membina terletak tidak terlalu jauh dari pasar itu, sekiranya ada orang pergi ke sana untuk menjalani ujian terlebih dahulu," ujarnya.
“Sekiranya kes dikesan maka tentu sahaja, mereka perlu memastikan mereka (melakukan) semua prosedur yang sama (seperti) pengesanan kontak, siapakah individu yang bersentuhan dengan mereka."
"Kami menyaksikannya di Bukit Merah View, pada awalnya ia cuma satu orang dan pasar itu boleh terus (beroperasi) tetapi setelah anda mula mengesan lebih daripada beberapa kes, tentu sekali, pasar tersebut harus ditutup untuk memutuskan penularan itu."
Beliau menambah bahawa pasar Tiong Bahru "tentunya tidak berada di tahap itu" buat masa ini.
Apabila Mediacorp mengunjungi Jalan Membina pada 11.00 pagi Jumaat, kebanyakan kedai kelihatan beroperasi kecuali satu pusat jagaan kanak-kanak yang ditutup hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Kedai kopi yang terletak berdekatan, Tiong Bahru Yong Tao Hu Coffeeshop di 56 Eng Hoon Street yang merupakan antara tempat terjejas, juga ditutup. Seorang penolong gerai dari kedai kopi itu adalah antara 17 kes baru COVID-19 yang terkait dengan kelompok Bukit Merah View pada Khamis.
MOH menyatakan pada Khamis bahawa ia sudahpun menjalankan ujian wajib pada Rabu ke atas semua pemilik, kakitangan dan penyewa yang bekerja di 79 dan 85 Redhill Lane, di mana terletaknya Pasar Redhill serta Pusat Penjaja Redhill.
Ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selepas dua kes COVID-19 dikesan di sana.
Kesemua 397 pemilik, penyewa dan kakitangan kedai serta unit komersil diuji negatif COVID-19, menurut MOH.
Ujian COVID-19 percuma juga akan ditawarkan kepada orang awam yang mengunjungi tempat-tempat terjejas pada separuh pertama Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.