Skip to main content

Trend pakai capal terus merosot dengan penjual alami kerugian sehingga 40%

Penjualan alas kaki tradisional Melayu iaitu capal, terus menjadi malap dengan para penjualnya mengeluh kerugian sehingga 40 peratus sekarang ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 May 2019 08:46PM Dikemas Kini : 30 May 2019 10:33PM

SINGAPURA: Penjualan alas kaki tradisional Melayu iaitu capal, terus menjadi malap dengan para penjualnya mengeluh kerugian sehingga 40 peratus sekarang ini.

Sejauh manakah budaya memakai capal semasa Hari Raya tidak lagi relevan, sekali gus menyaksikan pupusnya salah satu tradisi orang Melayu di sini?

Jawapannya terletak kepada trend penjualan capal di kalangan para peniaga di sini.

Sebagai contoh, kedai Singalang Jaya yang terletak di kawasan Arab Street, sudah menjual busana tradisional lelaki seperti songkok dan capal sejak 1970 lagi.

Perniagaan kedai itu mencapai kemuncaknya pada tahun-tahun 1980-an sehingga menjadi pembekal utama ke Indonesia, Brunei serta Sabah dan Sarawak.

Related article image

Bagaimanapun dengan perubahan zaman yang pesat, Singalang Jaya kini perlu berusaha lebih keras demi memastikan penakatannya.

Pemiliknya Cik Isneli Bahuruddin berkata sejak dua tiga tahun ini, perniagaannya mencatat kerugian sehingga 40 peratus.

Kemerosotan itu juga turut dialami tiga penjual capal lain di Bazar Raya Geylang Serai yang ditemui BERITAmediacorp.

Pengarah Pemasaran MNA Fashion Encik Feroz Khan, yang turut menjual capal, berkata: "Untuk tahun ini, perniagaan agak teruk hingga sekarang ini belum menanggung kos lagi. Mungkin dalam 10 hari hampir Lebaran, kita cuba dapatkan lebih banyak perniagaan untuk orang ramai membeli capal."

KENAPA CAPAL HILANG DAYA TARIKAN?

Orang ramai yang ditemui memberitahu antara sebab mengapa mereka tidak lagi memilih capal sebagai pilihan utama adalah kerana kesesuaian mengikut baju kurung mereka.

Ada juga yang menarik perhatian bahawa memakai sandal moden misalnya lebih berguna kerana ia boleh terus digunakan selepas musim Raya.

"Bukan tidak suka (capal), sebab (sandal) yang moden kita boleh pakai bukan Hari Raya. Selepas Hari Raya pun boleh pakai," kata seorang pembeli belah di Geylang Serai.

Alasan-alasan sebegitulah yang membuatkan sandal-sandal moden seperti yang ditawarkan Grey by Ortenhill milik Encik Trisno Ishak menjadi semakin popular kini.

Ini kerana selain menjanjikan keselesaan, sandal-sandal moden itu juga disediakan dalam pelbagai warna dan corak.

HANYA SATU EVOLUSI CITA RASA

Walaupun tiada peningkatan besar dari sudut kadar penjualan sandal-sandalnya, Encik Trisno menyaksikan peningkatan konsisten sekitar 10 peratus setahun sejak lima tahun lalu semasa musim Lebaran.

Apabila ditanya adakah sandal moden beliau menjejas budaya memakai capal tradisional, ini jawapan beliau:

"Kalau diperlihat 10 tahun lalu, capal tradisional juga tidak diberi prihatin. Mereka selalu memakai baju kurung bersama kasut. Tetapi setelah evolusi berlalu seperti sandal-sandal saya ini, apa terjadi adalah mereka juga memandang semula bukan saja sandal-sandal empunya saya tetapi juga capal-capal tradisional juga.

"Jadi pada saya ini adalah sumbangan saya untuk mencetuskan lagi minat orang ramai."
Tinjauan rambang BERITAmediacorp juga mendapati, capal masih belum boleh dikategorikan sebagai 'pupus'.

Ini kerana masih lagi ada kaum Adam yang menjadikan capal sebagai pilihan utama mereka.
"Saya rasa warisan kita, kita kekalkan. Jangan kita hilangkan begitu saja. Kalau bukannya kita yang teruskan, siapa lagikan?" kongsi seorang pekerja busana.

Dengan begitu luasnya kepelbagaian cita rasa masyarakat semasa menyambut Hari Raya, ia sedikit banyak memberi kesan terhadap budaya warisan kita.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita