Tokyo labuhkan tirai temasya Sukan Paralimpik yang 'bersejarah, hebat'
Tokyo mengucapkan selamat tinggal kepada temasya Sukan Paralimpik pada Ahad (5 Sep) selepas menyaksikan aksi-aksi yang memecah rekod dan stereotaip sepanjang 12 hari meskipun sebelum ini ia ditangguh setahun angkara pandemik.
Sekitar upacara melabuhkan tirai Sukan Paralimpik Tokyo. (Gambar: AFP)
TOKYO: Tokyo mengucapkan selamat tinggal kepada temasya Sukan Paralimpik pada Ahad (5 Sep) selepas menyaksikan aksi-aksi yang memecah rekod dan stereotaip sepanjang 12 hari meskipun sebelum ini ia ditangguh setahun angkara pandemik.
Ketua Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa Andrew Parsons mengisytiharkan temasya itu ditutup pada malam yang dingin di Stadium Olimpik sambil berkata bahawa acara itu "bukan sahaja bersejarah tetapi juga begitu hebat".
Ia adalah Sukan Paralimpik lain daripada yang lain, yang ditangguh setahun disebabkan pandemik dan dibelenggu pula oleh kesukaran serta sokongan kurang memeberangsangkan daripada orang awam.
Tetapi aksi para atlit tidak mengecewakan sebaik ia berlangsung dengan rekod 86 pasukan memenangi pingat dan 62 meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas.
Encik Parsons berkata temasya itu "membuka pintu" dan sudah "tiba masanya kita semua memainkan peranan memecahkan benteng-benteng (antara kita)".
"Sepanjang temasya sukan ini, kita meraikan perbezaan, mempamerkan sifat kemanusiaan yang terbaik dan menunjukkan perpaduan dalam kepelbagaian," kata beliau.
Meski para peminat tidak dapat hadir di acara-acara itu disebabkan koronavirus, upacara melabuhkan tirai temasya itu berlangsung di khalayak sekitar 2,000 atlit dan para pegawai dengan tema "kesepaduan yang harmonis".
Ia menampilkan para penari "breakdance" berbaju warna-warni, pengayuh ekasikal yang memakai kostum rama-rama dan para penari kaki bajang yang menggunakan bahan-bahan yang dikitar semula daripada upacara pembukaan Olimpik.
Gabenor Tokyo Yuriko Koike menyerahkan bendera Sukan Paralimpik kepada Encik Parsons yang akan menyampaikannya kepada Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo yang mewakili tuan rumah 2024.
Encik Parsons kemudian mengumumkan berakhirnya temasya itu, melabuhkan tirai selepas 539 pingat emas dimenangi dalam 22 sukan yang dipertandingkan hampir semuanya tanpa penonton disebabkan koronavirus.
"Saya tidak mahu melakukannya, tetapi sudah tiba masanya untuk saya mengisytiharkan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sudah tutup," umum beliau.
China menduduki tempat pertama dengan 207 pingat termasuk 96 pingat emas, diikuti Britain, Amerika Syarikat dan Rusia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.