Tiada kes baru dikaitkan dengan kelompok COVID-19 terbesar S'pura buat julung kali sejak 1 Apr
Tiada kes baru COVID-19 dikaitkan dengan kelompok di dormitori pekerja asing S11 @ Punggol buat pertama kali sejak 1 Apr, menurut perangkaan Kementerian kesihatan (MOH) pada Ahad (10 Mei).
(Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Tiada kes baru COVID-19 dikaitkan dengan kelompok di dormitori pekerja asing S11 @ Punggol buat pertama kali sejak 1 Apr, menurut perangkaan Kementerian kesihatan (MOH) pada Ahad (10 Mei).
Kelompok itu merupakan yang terbesar di Singapura, dengan 2,545 kes setakat Ahad dan antara yang pertama dikenal pasti melibatkan penularan jangkitan di dormitori pekerja asing.
Sejak itu, lebih daripada 20,000 kes sudah dikaitkan dengan dormitori di merata negara ini, sekali gus membentuk 90 peratus daripada kes COVID-19 di Singapura.
BAGAIMANA KELOMPOK S11 MENJADI YANG TERBESAR DI S'PURA
Dua pesakit pertama yang berhubung kait - Kes 826 dan 829 - diuji positif virus korona pada 28 Mac.
Kes 826, yang pertama dalam kelompok itu, adalah seorang warga Bangladesh berusia 48 tahun dan pemegang pas jangka panjang. Beliau dimasukkan ke Hospital Besar Sengkang. Kes 829 pula, seorang warga India berusia 34 tahun dan pemegang pas kerja. Beliau diuji positif virus korona pada hari yang sama dan dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat.
Pada 30 Mac, dua lagi kes dikaitkan dan MOH mengenal pasti S11 @ Punggol sebagai kelompok baru.
Tiada kes baru dikaitkan dengan S11 pada keesokan hari, tetapi pada 1 Apr, enam kes baru ditambah, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan di dormitori itu sebanyak 10.
Kenaikan dua angka dicatatkan pada hari ketiga, 5 Apr di kelompok itu dan S11 diwartakan sebagai kawasan pengasingan, bersama dengan dormitori Westlite Toh Guan. Kedua-duanya adalah dormitori pertama yang diwartakan.
Ini bermakna hampir 20,000 pekerja perlu tinggal di dalam bilik masing-masing selama 14 hari.
Jumlah kes di S11 melebihi 100 orang pada 8 Apr, sehari sebelum ia mencatat kenaikan pertama sebanyak tiga angka.
Pada 9 Apr, 166 lagi kes dikaitkan dengan kelompok itu, yang ketika itu sudah mempunyai 283 kes COVID-19 disahkan.
Satu "strategi khas" yang melibatkan pekerja menjalani ujian saringan mereka yang sihat dipindahkan ke tempat lain diperkenalkan pada 9 Apr oleh pasukan bertindak pelbagai kementerian.
Kelompok di pusat beli-belah Mustafa Centre juga kemudian dikaitkan dengan beberapa dormitori, termasuk di S11.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.