Skip to main content

Iklan

Iklan

Tiada kes baru COVID-19 dalam masyarakat di S'pura hari ini; pertama kali sejak 25 April

Tiada kes baru COVID-19 dalam kalangan masyarakat dilaporkan di Singapura hari ini (10 Jul).  

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kes baru COVID-19 dalam masyarakat di S'pura hari ini; pertama kali sejak 25 April

(Gambar fail: Caroline Chia/Reuters)

Diterbitkan : 10 Jul 2021 10:55PM Dikemas Kini : 10 Jul 2021 10:57PM

SINGAPURA: Tiada kes baru COVID-19 dalam kalangan masyarakat dilaporkan di Singapura hari ini (10 Jul).

Ini adalah kali pertama tiada jangkitan tempatan baru di Singapura dilaporkan sejak 25 April, apabila sifar kes COVID-19 dikenal pasti baik dalam masyarakat mahupun dormitori pekerja hijrahan.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini awal hari ini, terdapat enam kes import dan semuanya sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sejurus tiba di sini.

Tiga daripada kes import itu dikesan sebaik tiba di Singapura manakala yang lainnya jatuh sakit ketika menjalani SHN atau pengasingan.

Ini adalah jumlah keseluruhan kes harian yang terendah dilaporkan di Singapura sejak 9 Jun apabila empat kes dikenal pasti.

MOH menyatakan jumlah kes baru dalam masyarakat merosot kepada 17 kes pada minggu lalu daripada 37 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat meningkat kepada sembilan kes pada minggu lalu daripada satu kes pada minggu sebelumnya.

Kini terdapat 22 kelompok aktif dengan antara tiga hingga 94 jangkitan.

MOH menyatakan 76 kes kini berada di hospital dengan kebanyakan pesakit dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.

Terdapat tujuh kes serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan dua pesakit dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu untuk mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti. Sepanjang 28 hari lalu, 24 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia.

"20 daripada mereka belum divaksinasi, empat sudah menerima satu suntikan dos dan tiada satu pun yang sudah divaksin sepenuhnya," menurut MOH.

Dalam satu kenyataan berasingan, MOH menyatakan ia sudah selesai menjalankan ujian pengawasan masyarakat bagi kakitangan dan pekerja pembersihan yang bekerja di Harbourfront Centre serta Vivocity pada 2 Julai.

Seramai 6,364 kakitangan serta pekerja pembersihan diuji dan didapati negatif COVID-19.

Ujian pengawasan bagi para pekerja pembersihan di Velocity@Novena selesai dijalankan pada 30 Jun. Seramai 39 pekera diuji dan semuanya didapati negatif COVID-19.

Mulai Isnin (12 Jul), sehingga lima orang sekumpulan dibenarkan untuk duduk makan bersama di luar. Perhimpunan sosial di tempat kerja juga boleh disambung semula - terhad kepada lima orang. Bekerja dari rumah kekal sebagai aturan pilihan, menurut MOH pada 7 Julai lalu.

Setakat hari ini, Singapura melaporkan jumlah terkumpul kes COVID-19 sebanyak 62,684 dan 36 kematian akibat koronavirus itu.   

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan