Skip to main content

Iklan

Iklan

Tiada kes baru COVID-19 dalam kalangan kakitangan CGH; semua pekerja akan jalani ujian swab

Hospital Besar Changi (CGH) pada Isnin (28 Jun) menyatakan tiada kes baru COVID-19 dikesan dalam kalangan kakitangannya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kes baru COVID-19 dalam kalangan kakitangan CGH; semua pekerja akan jalani ujian swab

Gambar fail CGH (Gambar: Facebook/Hospital Besar Changi)

Diterbitkan : 28 Jun 2021 11:24PM Dikemas Kini : 28 Jun 2021 11:26PM

SINGAPURA: Hospital Besar Changi (CGH) pada Isnin (28 Jun) menyatakan tiada kes baru COVID-19 dikesan dalam kalangan kakitangannya.

Dalam satu kenyataan media, CGH menyatakan sehingga kini, lapan pekerjanya diuji positif COVID-19. Tujuh daripada mereka adalah daripada kelompok yang sama. Kes kelapan, seorang jururawat berusia 21 tahun, buat masa ini tidak berhubung kait dengan mana-mana jangkitan lalu.

UJIAN PROAKTIF TIDAK KESAN KES BARU

Kes pertama di bawah kelompok CGH dilaporkan pada 24 Jun, melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai seorang porter di hospital itu.

Dikenal pasti sebagai kes 64413, lelaki itu disahkan positif pada 23 Jun selepas diuji sebagai sebahagian daripada ujian rutin berjadual CGH.

Porter itu tidak menunjukkan gejala dan sudah menerima kedua-dua dos suntikan vaksin.

Ujian swab proaktif ke atas kontak rapat beliau segera dijalankan oleh pihak hospital sekali gus membolehkan CGH mengesan jangkitan positif pada enam porter lain dan seorang penolong jagaan kesihatan.

"Ujian proaktif tidak mengesan sebarang kes baru dalam kalangan kakitangan sehingga ini," menurut CGH.

Hospital itu menambah pengesanan kontak dan ujian swab pengawasan sedang dijalankan. Kakitangan yang dikenal pasti sebagai kontak rapat sudahpun dikenakan arahan kuarantin atau cuti ketidakhadiran sementara menanti siasatan lanjut.

CGH menyatakan ia juga sedang bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan (MOH). Siasatan epidemiologi tambahnya sedang dijalankan ke atas kes-kes positif.

"Pihak hospital sudah memperkukuhkan pertahannya untuk mengawal jangkitan dan langkah-langkah dilaksanakan untuk memastikan pesakit, pelawat dan kakitangan kami selamat.

"Protokol kawalan jangkitan sudahpun dilaksanakan dan pembersihan terminal dijalankan di kawasan-kawasan terjejas," menurut CGH.

SEMUA KAKITANGAN DI KAMPUS PERLU JALANI UJIAN COVID-19

CGH menyatakan semua kakitangan di kampus akan menjalani ujian COVID-19 pada beberapa hari mendatang.

Ia menambah ujian swab tambahan dipertingkatkan bagi kakitangan yang dikenal pasti sebagai kontak kepada kes positif serta juga pelbagai kumpulan termasuk porter, jurukemas dan jururawat.

Kakitangan yang berdepan dengan pesakit yang sudahpun berada di bawah ujian rutin berjadual juga menjalani satu lagi pusingan ujian swab pengawasan, tambah CGH.

"Lebih 6,000 ujian swab ke atas kakitangan sudahpun dijalankan sepanjang minggu lalu. Hasil ujian swab kembali negatif setakat ini," menurut hospital.

Ujian swab pengawasan tambahan bagi pesakit yang mungkin adalah kontak kakitangan yang positif juga sudah selesai dijalankan. Semua hasil kembali negatif, menurut hospital itu.

Pesakit yang dikenal pasti sebagai kontak mungkin diasingkan untuk terus menjalani rawatan di bawah kuarantin. Bagi keselamatan pelawat, mereka tidak akan dibenarkan ke wad-wad tersebut sehingga makluman lanjut.

Panduan lawatan CGH tetap sama iaitu seorang pelawat yang berdaftar awal bagi tempoh kemasukan pesakit dan dihadkan kepada seorang pelawat setiap hari. Pesakit juga boleh meneruskan janji temu pesakit luar mereka di hospital itu.

"Hospital ini selamat bagi janji temu klinikal dan kunjungan dengan pematuhan terhadap panduan lawatan sedia ada," menurut CGH. Ia menambah pihak hospital akan terus memantau keadaan dan menyemak atau memperketatkan langkah-langkah apabila perlu. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan