Thailand tangguh beli 8.5 juta kit ujian antigen
Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) Thailand menangguhkan sementara pembelian 8.5 juta kit ujian antigen (ATK) ekoran kebimbangan mengenai ketepatan alat itu.

Seorang pekerja asing di Samut Sakhon, Thailand, jalani ujian swab COVID-19 pada 19 Dis 2020. (Gambar: Reuters/Panumas Sa)
BANGKOK: Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) Thailand menangguhkan sementara pembelian 8.5 juta kit ujian antigen (ATK) ekoran kebimbangan mengenai ketepatan alat itu.
Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Dr Kiatiphum Wongrajit, berkata GPO bersama Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) akan melakukan pemeriksaan lanjut untuk memastikan sama ada kit itu boleh dipercayai atau tidak.
"Hospital Rajavithi meminta GPO segera membeli 8.5 juta kit ujian antigen untuk membolehkan ujian awal COVID-19. Hospital dan Pejabat Keselamatan Kesihatan Kebangsaan telahpun menetapkan spesifikasi kit ujian yang diperlukan.
"GPO sudah memilih pembekal yang disahkan oleh FDA," kata beliau seperti dipetik oleh Bangkok Post.
Dr Kiatiphum tidak menamakan ATK berkenaan namun Persatuan Doktor Luar Bandar (RDS) mendesak Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha untuk menangguhkan pemeteraian kontrak dengan Lepu Medical Technology China untuk membekalkan 8.5 juta ATK.
Menurut laporan, kerajaan merancang untuk mengedarkannya secara percuma kepada orang ramai melalui hospital, lapor Thai PBS.
Dalam kenyataannya, RDS memaklumkan GPO harus mendapatkan ATK yang memenuhi piawai yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan berdasarkan harganya.
"Tentera memerlukan kereta kebal, kapal terbang dan kapal selam bermutu tinggi untuk melindungi negara ini daripada penceroboh, begitu juga doktor yang memerlukan ATK berkualiti untuk melawan COVID-19," Thai PBS memetik RDS.
Thailand mencatatkan 22,782 kes baru COVID-19 dalam tempoh 24 jam, sekali gus membawa jumlah keseluruhan kes sebanyak 839,771.
Lagi 147 orang meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus itu, menambah jumlah korban kepada 6,942 orang.
Bangkok mendahului senarai dengan 4,854 kes baru dan 70 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.