Skip to main content

Iklan

Iklan

Thailand lapor lebih 4,800 kes baru COVID-19; lebih separuh adalah banduan

Thailand melaporkan 4,803 kes baru COVID-19 termasuk 2,702 jangkitan melibatkan banduan dan 31 lagi kematian pada Sabtu (29 Mei). Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 149,779 dan 988 orang meninggal dunia setakat ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand lapor lebih 4,800 kes baru COVID-19; lebih separuh adalah banduan

Seorang pekerja asing di Samut Sakhon, Thailand, jalani ujian swab COVID-19 pada 19 Dis 2020. (Gambar: Reuters/Panumas Sa)

Diterbitkan : 29 May 2021 08:17PM Dikemas Kini : 29 May 2021 08:19PM

BANGKOK: Thailand melaporkan 4,803 kes baru COVID-19 termasuk 2,702 jangkitan melibatkan banduan dan 31 lagi kematian pada Sabtu (29 Mei). Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 149,779 dan 988 orang meninggal dunia setakat ini. 

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin, berkata daripada jumlah kes baru itu, sebanyak 4,752 adalah jangkitan tempatan manakala 51 kes import termasuk 47 rakyat Thailand yang pulang dari Kemboja.

Sehingga kini, kata beliau, sejumlah 46,480 termasuk 1,221 pesakit berada dalam keadaan serius dan 406 memerlukan alat bantuan pernafasan. 

"Sebanyak 120,916 kes dan 894 kematian dicatatkan dalam tempoh kira-kira dua bulan sejak gelombang ketiga bermula pada April," kata beliau semasa taklimat harian COVID-19 di Bangkok hari ini.

Dr Taweesin berkata sejumlah 43 kluster aktif dikesan di Bangkok termasuk 15 di kem pekerja binaan, 12 dikaitkan dengan pasar dan pusat beli-belah.

Kluster penjara terus menjadi kebimbangan kerajaan dan menurut Jabatan Penjara, lebih 22,000 banduan didapati positif, melibatkan 15 penjara. 

Sehingga kini, terdapat kira-kira 310,000 banduan di 143 penjara seluruh negara. 

Mengenai kes kematian terkini, Dr Taweesin berkata 18 lelaki dan 16 wanita berusia antara 35 dan 87 tahun termasuk 21 kes di Bangkok, masing-masing dua di Samut Prakan, Chiang Rai dan Pathum Thani.

Sementara itu, Kementerian Masyarakat dan Ekonomi Digital menyatakan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai vaksin COVID-19 yang dikatakan mengandungi gelatin babi atau lemak babi.

Pusat Anti-Berita Palsu Kementerian Jabatan Kawalan Penyakit menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kandungan kedua-dua jenis vaksin tersebut dan mendapati ia tidak mengandungi lemak babi, lapor The Nation.

"Tolong jangan sebar maklumat seperti itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di tengah peningkatan wabak," tambah laporan tersebut.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan