Skip to main content

Iklan

Iklan

Teruja jadi imam, baca khutbah solat Aidilfitri bersama keluarga

Pengalaman kali pertama menjadi imam dan menyampaikan khutbah solat sunat Aidilfitri kepada ahli keluarga adalah kenangan manis bagi setiap ketua keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:
Teruja jadi imam, baca khutbah solat Aidilfitri bersama keluarga

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 May 2020 12:26PM Dikemas Kini : 25 May 2020 12:28PM

PADANG BESAR: Pengalaman kali pertama menjadi imam dan menyampaikan khutbah solat sunat Aidilfitri kepada ahli keluarga adalah kenangan manis bagi setiap ketua keluarga.

Jabatan Mufti Perlis, baru-baru ini, mengeluarkan panduan dan teks khutbah hari raya bagi ketua keluarga untuk mendirikan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama keluarga masing-masing.

Salah seorang ketua keluarga yang ditemui Bernama, Encik Abdullah Aiman Amran, 34, berkata pada awalnya beliau berasa agak gementar apabila buat kali pertama menjadi imam dan membaca khutbah di hadapan emak, isteri, anak dan adik-beradik di Kampung Belukar, Mata Ayer.

“Saya mula memuat turun panduan solat sunat Aidilfitri dan teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis semalam dan berlatih membacanya agar tidak kekok,” katanya kepada Bernama.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis banyak membantunya menunaikan solat sunat tersebut.

“Intipati khutbah yang bertajuk ‘Semangat Hari Raya: Menghadapi Cabaran Hidup Bersama Keluarga’ mengajak umat Islam agar bersabar menghadapi ujian wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini dan bersyukur kerana boleh menunaikan ibadah seperti biasa,” katanya.

Encik Abdullah Aiman, yang juga seorang akauntan, berkata khutbah itu memberi semangat kepada beliau dan keluarganya untuk menghadapi ujian ini dan bersedia dengan norma baru selepas ini.

Turut berkongsi pengalaman, Encik Mohd Nor Zharif Idrus, 28, berkata walaupun adik-beradiknya yang lain tidak pulang berhari raya di kampung akibat larangan merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau tetap melakukan solat sunat Aidilfitri bersama ibunya di rumah.

“Mak minta saya jadi imam dan baca khutbah raya di rumah kerana solat raya tidak dilakukan di masjid...pada awalnya saya rasa agak berat namun setelah membaca garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis, sebenarnya ia mudah untuk dilaksanakan,” katanya.

Penjawat awam itu berkata beliau dan ibunya Cik Zainab Abd Manan, 67, memulakan solat sunat Aidilfitri dengan takbir raya, solat sunat dan membaca khutbah ringkas.

“Ini adalah pengalaman baharu bagi saya yang tidak pernah membaca khutbah dan hanya biasa menjadi makmum solat di belakang imam..bagi saya ia satu pengalaman yang menyeronokkan apabila seorang anak dapat memenuhi permintaan emak,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi Bernama, berkata beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat memudahkan semua pihak, khususnya ketua keluarga dalam melakukan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah masing-masing.

“Agama itu mudah tapi kadangkala tembok eksklusif telah menyukarkan untuk diamalkan di setiap peringkat. Kita harap dalam suasana sukar ini, ramai akan memahami betapa agama itu dapat diamalkan dalam semua keadaan,” katanya

Menurut Dr Mohd Asri, beliau bersyukur kerana pihaknya sentiasa memberikan khidmat yang terbaik bagi memudahkan semua pihak di setiap peringkat mendalami ilmu agama.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan