Skip to main content

Iklan

Iklan

terkini

Calvin Cheng akui silap dan kesal buat kenyataan singgung masyarakat Islam

Anggaran Waktu Membaca:
Calvin Cheng akui silap dan kesal buat kenyataan singgung masyarakat Islam

(Dari Kiri) Pertemuan Encik Calvin Cheng dengan Ustaz Pasuni Maulan dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan di Masjid Yusof Ishak. (Gambar: Calvin Cheng/ Facebook)

SINGAPURA: Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Calvin Cheng menyatakan bahawa beliau amat kesal dengan kenyataannya yang mencadangkan sekumpulan aktivis berpindah ke Gaza, sambil mengakui bahawa kenyataan itu telah menimbulkan "rasa sakit hati dan kemarahan", khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

Semalam (9 April), beliau bertemu dengan dua tokoh agama kanan, Ustaz Pasuni Maulan dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, di Masjid Yusof Ishak bagi menjelaskan kenyataannya di media sosial tentang satu hantarannya di Facebook mengenai kumpulan aktivis Monday for Palestine (MPS).

Pertemuan itu diadakan atas permintaan Encik Cheng sendiri.

(Gambar: Calvin Cheng/Facebook)

Dalam catatan Facebook yang dimuat naik pada Khamis (10 April), beliau berkata: “Saya menjelaskan kepada dua tokoh agama kanan itu bahawa saya tidak berniat menyerang mana-mana komuniti atau agama.”

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kenyataannya ditujukan khusus kepada kumpulan MPS yang menurutnya terdiri daripada individu pelbagai kaum dan agama.

Beliau menjelaskan bahawa rasa tidak senangnya tertumpu kepada bentuk aktivisme yang disifatkannya sebagai “mengganggu”, dan bukan terhadap masyarakat Islam.

"Saya memberitahu kedua-dua tokoh agama itu bahawa saya telah berhubung dengan beberapa anggota masyarakat Melayu/Islam sepanjang minggu lalu. 

“Saya sedar bahawa saya sepatutnya lebih sensitif dengan kenyataan saya. Saya tidak sepatutnya berkata (walaupun secara bergurau) bahawa mereka (para aktivis MPS) harus pergi ke zon konflik,” akui beliau.

Menurut Encik Cheng, kedua-dua Ustaz Pasuni dan Ustaz Hasbi menasihatinya supaya lebih berhati-hati dan sensitif dalam tutur katanya pada masa akan datang.

"Saya memberitahu kedua-dua ustaz bahawa saya amat kesal dengan kenyataan saya yang mencadangkan supaya rakyat kita pergi ke zon konflik. Mereka menasihati saya supaya lebih berhati-hati dan sensitif dalam tutur kata saya pada masa hadapan," kata beliau.

Beliau turut menyatakan penghargaan atas kesediaan kedua-dua tokoh agama tersebut untuk meluangkan masa untuk menemuinya.

“Saya amat bersyukur kerana Ustaz Pasuni dan Ustaz Hasbi sudi bertemu dengan saya, mendengar penjelasan saya dan berbicara tentang perdamaian dan memperbaiki hubungan,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih atas kebaikan, kefahaman dan belas ihsan kedua-dua pemimpin agama itu.

Dalam pertemuan tersebut, Encik Cheng juga memaklumkan bahawa terdapat kenyataan lain yang telah dipetik secara tidak tepat kepadanya, dan ini telah mendorong beliau mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi reputasinya.

Petikan skrin yang menunjukkan catatan Encik Calvin Cheng di Facebook. (Gambar: Facebook/Calvin Cheng)
"Ramai yang telah bertanya kepada saya, dan saya ingin menyatakan bahawa saman saya terhadap mereka yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap saya akan tetap diteruskan," tegas beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan