24 Jam Ramadan di JB: Bazar, Masjid dan Moreh
JOHOR BAHRU: Keindahan sambutan bulan suci Ramadan terus diserikan dengan kepelbagaian warisan dan budaya di setiap kota dan negara.
Ikuti pengalaman wartawan Syafeera Sofian melakukan pelbagai kegiatan yang lazim dialami semasa bulan Ramadan di Johor Bahru selama 24 jam!
BAZAR RAMADAN TAMAN DAHLIA TAWARKAN HARGA BERPATUTAN
Sama ada di Singapura mahupun di Johor Bahru, bazar Ramadan menjadi antara tumpuan utama sepanjang bulan.
Selepas seharian berpuasa, pengunjung lazimnya berkunjung ke bazar untuk memilih pelbagai juadah berbuka puasa mengikut cita rasa masing-masing.
Bagi perjalanan saya kali ini ke Johor Bahru, bazar Ramadan yang saya pilih adalah Bazar Ramadan Taman Dahlia.
Bazar ini popular kerana aneka pilihan yang terdapat dan juga harganya yang lebih berpatutan berbanding bazar-bazar lain di Johor Bahru.
Contohnya, ada kedai kebab RM2, 6 keping tepung pelita untuk hanya RM5 dan macam-macam lagi.
Kata seorang pengunjung: " Dahulu saya tinggal di kawasan ini. Walaupun sekarang saya tinggal di Senai saya tetapi pilih bazar ini sebab banyak pilihan. Pada saya, harga tidak mahal sangat. "
" Taman Dahlia ini harga dia masih lokal lagi berbanding bazar lain. Ini saya dah borong banyak makanan dia, 50 lebih ringgit begitu sahaja, " kata seorang lagi pengunjung yang berasal dari Singapura.
NASI AMBENG SAMBAL HIJAU HAMPIR 20 TAHUN NIAGA DI BAZAR INI
Selain harganya, juadah yang unik juga menjadi tarikan utama, misalnya Nasi Ambeng di Johor yang dicampur dengan mi goreng.
Kedai Nasi Ambeng Sambal Hijau ini sudah berniaga di bazar Ramadan itu sejak hampir 20 tahun yang lalu menurut pemiliknya, Cik Nuriha.
" Jadi ia adalah hidangan tempatan Johor. Kami sudah lebih kurang dua puluh tahun jualan di sini sejak saya di sekolah menengah.
Alhamdulillah sekarang ini kami menjual untuk lebih kurang dalam 250 hingga 300 pelanggan setiap hari. Biasanya dalam jam enam lebih atau tujuh petang sudah habis, " kongsinya.
BERBUKA PUASA DI MASJID SULTAN ISKANDAR BANDAR DATO' ONN (BDO)
Selesai berjalan-jalan di bazar ini, saya pula kunjungi antara masjid terbesar di Johor Bahru, Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn (BDO) untuk berbuka puasa.
" Kami menyediakan makanan antara 1000 hingga ke 1500 orang untuk jemaah. Tetapi kehadiran yang datang jangkau kepada 2000 orang, " kongsi sukarelawan masjid tersebut, Encik Rahmat Yusof.
Setiap hari para sukarelawan akan mula buat persiapan seawal selepas solat Asar bagi menyediakan juadah berbuka puasa seperti nasi, lauk-pauk, kuih-muih dan buah-buahan serta air sejuk dan teh masala.
INSIATIF TARAWIH DI MASJID BAGI PASANGAN IBU-BAPA
Di masjid ini, terdapat juga beberapa orang guru tadika yang akan menjadi sukarelawan selepas waktu kerja di masjid ini bagi menjaga anak-anak jemaah yang hadir.
Kongsi imam masjid ini Imam Ahmad Jihadi: "Pada bulan Ramadan khas di Masjid Sultan Iskandar, kita menyediakan tempat jagaan kanak-kanak ketika mana ibu bapa sedang berterawih. Jadi mereka tak risau nak bawa anak-anak."
Antara aktiviti yang boleh kanak-kanak ini lakukan adalah melukis atau mewarna lukisan.
AKTIVITI UNIK MALAYSIA SEMASA RAMADAN: MOREH
Suasana malam dihidupkan lagi dengan satu tradisi unik di Malaysia iaitu moreh.
Bermula dari perkarangan masjid, kini ada juga kedai makan seperti Loaf Adam di Larkin yang dibuka hingga jam 1 pagi dan menawarkan menu khas moreh.
" Bila kita lepas terawih kita makan makanan ringan dekat perkarangan masjid tu. Jadi biasanya orang Masjid akan sediakan makanan ringan, kuih-kuih macam itu, teh tarik ke. Jadi itulah moreh, " jelas pengasas bersama Loaf, Adam, Cik Nur Hasya.
Kongsinya lagi, "Saya rasa tiga tahun lalu bila kita mula memang tidak ada kafe buat moreh di JB. Banyak kedai tutup awal. Saya cakap dengan adik saya saya nak mula buat moreh, seronok kan? Jadi kita mula sampai pukul 1 pagi dan dapat tahu ramai yang suka moreh. Jadi ia sudah jadi sebuah budaya sekarang."
BELI-BELAH BAGI PERSIAPAN HARI RAYA
Pada keesokan harinya, saya kunjungi Warong Bunda Johor yang menawarkan pelbagai kuih-muih dan kerepek untuk Hari Raya nanti.
"Pada bulan Ramadan kita ada lebih 150 jenis kuih Melayu tradisional yang dibuat di rumah. Selain itu, kita ada lebih kurang dalam 30 jenis kerepek panas-pana yang kita goreng secara langsung di kawasan ini, " kongsi pengasasnya, Cik Nisa'ul Arzakiyah.
Bagi pakaian Hari Raya pula, bazar Ramadan di Toppen tampilkan baju kurung dan baju Melayu bermacam warna dan rekaan.
Walau berbeza dari segi suasana dan tradisi, Ramadan di Singapura dan Malaysia tetap berpaksikan nilai yang sama — keimanan, kebersamaan dan rasa syukur.
Apabila menikmati Ramadan di tempat lain, perbezaan sebeginilah yang memperkayakan pengalaman dan penghayatan bulan mulia ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.