24 Jam Ramadan di Jakarta: Tanah Abang, Takjil dan Tarawih
- Penulis berkongsi pengalaman menyambut Ramadan selama 24 jam di Jakarta, termasuk sahur di hotel dan berbuka puasa bersama keluarga.
- Beliau melawat Tanah Abang dan Thamrin City, pusat tekstil dan beli-belah utama, yang menjadi tumpuan penduduk tempatan serta pelancong dari Malaysia dan Singapura.
- Bazar Takjil Ramadan di Bendungan Hilir menawarkan pelbagai juadah ringan, menarik ramai pengunjung untuk berbuka puasa dengan makanan tradisional.
- Penulis turut berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih di Masjid Istiqlal, merasai suasana kebersamaan dan keindahan Ramadan bersama ribuan jemaah.
JAKARTA: Sambutan Ramadan bagi saya selalunya sederhana. Hampir setiap hari berbuka puasa bersama keluarga di rumah.
Itulah rutin yang paling saya nantikan - meja makan, lauk pauk ringkas, dan momen tenang sebelum azan Maghrib berkumandang.
Kalau nak rasa ‘vibe’ Ramadan pula, memang tak sah kalau tak singgah bazar.
Mana-mana bazar pun jadi.
Yang penting, saya mesti dapat beli air balang satu liter.
Namun minggu lalu, rutin itu berubah.
Saya berpeluang menyahut cabaran 24 jam merasai sendiri suasana Ramadan di kota yang menempatkan jumlah umat Islam terbesar di dunia, Jakarta, Indonesia.
Sepanjang berada di ibu kota itu, jelas terlihat perubahan rentak kehidupan harian.
Suasana perniagaan yang lazimnya rancak, saya perhatikan menjadi lebih perlahan dan tenang.
Dari waktu sahur hingga solat tarawih, pengalaman yang dilalui nyata berbeza dengan suasana Ramadan di Singapura.
NAK RASA BERTENAGA SEPANJANG HARI? JANGAN LUPA SAHUR
Saya memulakan sahur pertama di Hotel Four Points by Sheraton, Thamrin, tempat saya menginap.
Seawal jam 3 pagi, saya turun ke restoran hotel.
Hidangan bufet dari hujung ke hujung.
Masakan antarabangsa ada, juadah tradisional Indonesia pun ada.
Tetapi, saya jarang makan besar semasa bersahur.
Saya memilih untuk menikmati bubur ayam dengan semangkuk bijirin saja.
Kalau di Indonesia, mesti ada keropok juga.
Cukup untuk saya lalui sehari di Jakarta.
TANAH ABANG HAB TEKSTIL DI ASIA TENGGARA, TUMPUAN KELENGKAPAN HARI RAYA
Saya berehat seketika sebelum bersiap untuk menyaksikan sendiri suasana di Tanah Abang.
Ia kompleks tekstil terbesar di Asia Tenggara yang menempatkan lebih 13,000 gerai serta menjadi pusat bekalan fesyen serantau.
Tanah Abang bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan.
Saya dapat tahu ramai juga warga Singapura yang datang ke sana untuk membeli-belah.
Peniaga dari luar kota dan seluruh pelosok Indonesia juga datang ke sini untuk menjual.
Di sini, barangan boleh dibeli secara runcit mahupun borong.
Ramai penjual semula dari pelbagai wilayah Indonesia mendapatkan stok pakaian dan kelengkapan perniagaan mereka di Tanah Abang.
Antaranya ialah Encik Salman yang sanggup datang dari Papua untuk membeli stok bagi kedainya di Makassar dan Papua.
“Kalau ke Tanah Abang memang kerap. Biasanya dua kali sebulan saya ke sini. Sekarang musim baju Muslim. Jadi kami beli stok itu dahulu, bergantung pada suasana. Barang di sini lengkap dan lebih murah berbanding tempat lain,” kata Encik Salman.
Tanah Abang secara keseluruhannya terdiri daripada beberapa blok utama, termasuk Blok A hingga Blok G, yang masing-masing menempatkan ribuan gerai pelbagai kategori barangan.
Tetapi, rasanya tak sanggup pula nak membeli belah sehingga Blok G. Besar sangat tempatnya! Lagi pun, tidak berhawa dingin.
Jadi saya pergi ke Blok A dan Blok B.
Blok-blok itu khusus menjual pakaian dan busana.
Kedua-dua blok itu menjadi nadi utama jualan fesyen, khususnya menjelang Ramadan dan Syawal apabila permintaan meningkat dengan ketara.
Saya tanya para peniaga mengenai trend busana bagi tahun 2026 di Indonesia.
Rata-rata, gaya yang semakin mendapat perhatian, dikenali sebagai “Busana Bini Orang” atau singkatannya “Bin-Or”.
Busana itu berupa gaun labuh dalam warna lembut seperti 'nude' dan krim, dihiasi perincian renda penuh yang menampilkan imej feminin dan elegan.
Rekaannya pula anggun dan tidak terlalu gah, menjadikannya pilihan ramai wanita yang menginginkan penampilan sederhana tetapi tetap menawan pada Aidilfitri.
Saya kemudian menuju ke Thamrin City yang terletak kira-kira lima kilometer dari Tanah Abang.
Berbeza dengan suasana padat dan sibuk di Tanah Abang, pengalaman membeli-belah di Thamrin City lebih selesa.
Yang penting, berhawa dingin.
Lorong-lorongnya juga lebih luas untuk pengunjung bergerak dan melihat barangan.
Pusat beli-belah itu menempatkan lebih 500 kedai yang menawarkan pelbagai pilihan.
Bangunan enam tingkat itu menampilkan pelbagai jenis pakaian, juadah ringan, dan kelengkapan ibadah termasuk keperluan haji dan umrah.
Kepelbagaian barangan yang ditawarkan menjadikan Thamrin City destinasi pilihan bagi pembeli tempatan dan luar negara.
Tidak hairanlah ramai pengunjung yang datang membawa bagasi kecil bagi memudahkan mereka mengisi barangan yang dibeli sepanjang hari.
Seperti Cik Nida Ealissa yang sanggup datang dari Malaysia bersama keluarganya.
Cik Nida berpendapat perjalanan itu berbaloi untuk mendapatkan persalinan Hari Raya di Thamrin City.
“Bila kami buat kajian dan bandingkan harga dengan Malaysia, di sini lebih mampu milik. Reka bentuk di sini juga lebih cantik, dari segi kualiti seperti songket dan batik,” kongsi beliau.
Alang-alang sudah di situ, saya sendiri mendapatkan sepasang persalinan Hari Raya sebagai kenangan pengalaman membeli-belah di Jakarta.
CITARASA TAKJIL PILIHAN WARGA JAKARTA
Tumpuan saya seterusnya beralih ke daerah Bendungan Hilir.
Di situ, ada Bazar Takjil Ramadan.
Takjil adalah juadah ringan atau manisan yang dinikmati untuk berbuka puasa.
Ia lazimnya berasa manis atau mudah ditelan sebagai pembuka selera sebelum menjamah hidangan utama.
Bazar itu menempatkan lebih 50 gerai yang disusun dalam ruang berbumbung di hadapan sebuah bangunan komuniti.
Ia merupakan bazar sementara yang hanya beroperasi sepanjang bulan Ramadan dan menjadi antara lokasi tumpuan warga setempat untuk mendapatkan juadah berbuka.
Para peniaga di sini lebih banyak menjual makanan ringan seperti kuih-muih tradisional.
Ada juga aneka bubur serta pelbagai jenis gorengan panas seperti pisang goreng, tahu isi dan bakwan.
Agak berbeza dengan kebanyakan bazar di Singapura yang menawarkan hidangan berat dan moden.
Ramai pengunjung pula sebaliknya memilih bubur 'kampiun' sebagai juadah berbuka. Bukan bubur kampung.
“Memang sesuai untuk berbuka puasa. Kami datang ke sini jam 3 petang, kalau ke sini jam 4 petang nanti sesak,” kata seorang pengunjung.
Bubur 'kampiun' yang berasal dari Padang, Sumatera Barat, terkenal dengan gabungan pelbagai jenis bubur dalam satu mangkuk.
Ia mengandungi bubur pulut hitam, bubur sumsum, bubur kacang hijau, 'candil' atau biji salak, serta disiram dengan santan dan gula merah cair.
Tetapi, saya akhirnya membeli risoles saja untuk takjil saya. Saya simpan di dalam beg untuk berbuka puasa nanti.
BERBUKA PUASA DAN SOLAT TARAWIH DI MASJID ISTIQLAL
Menjelang jam 5 petang, saya menuju ke Masjid Istiqlal untuk merasai sendiri suasana berbuka puasa bersama jemaah di masjid terbesar di Asia Tenggara.
Masjid itu terletak berhampiran Monumen Nasional atau Monas.
Ia mampu menampung lebih 200,000 jemaah pada satu-satu masa.
Kalau nak bandingkan dengan Masjid Sultan di Singapura, ia boleh menampung kira-kira 5,000 jemaah saja.
Besar kan?
Pada hari biasa sepanjang Ramadan, dianggarkan antara 3,000 hingga 5,000 jemaah hadir untuk berbuka puasa bersama di sini.
Setiap tahun, pihak masjid menyediakan pek makanan untuk jemaah.
Agihan dibuat berdasarkan konsep 'siapa cepat dia dapat', khususnya bagi mereka yang sudah duduk berbaris di ruang yang disediakan sambil mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh ustaz sementara menunggu waktu berbuka.
“Setiap tahun saya akan berbuka di sini sekali. Kalau buka puasa bersama orang lain, suasana Ramadan terasa lebih indah,” kata Ayu, salah seorang jemaah di masjid.
“Suasananya selesa dan tenang. Dapat dengar ceramah juga sambil menunggu buka puasa,” kongsi Resnu yang kali pertama berbuka puasa di Masjid Istiqlal.
Tatkala azan Maghrib bergema, diiringi bunyian beduk yang dipalu, para jemaah beramai-ramai membaca doa berbuka puasa bersama sebelum mencapai air dan kurma.
Ada yang menikmati hidangan nasi dalam pek yang disediakan, manakala ada juga yang sekadar mengambil takjil sebagai pembuka selera.
Saya keluarkan takjil saya yang saya simpan dalam beg tadi. Sudah tidak rangup. Tetapi, tetap sedap. Maklumlah, kalau berpuasa, semuanya rasa sedap untuk saya.
Selesai menunaikan solat Maghrib, ramai jemaah kekal berada di saf untuk menunggu solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah.
Di Masjid Istiqlal, solat tarawih didirikan sebanyak 20 rakaat.
Sebelum tarawih bermula, jemaah dihidangkan dengan tazkirah ringkas serta alunan tilawah al-Quran yang menambahkan lagi penghayatan malam Ramadan.
Kelihatan sahabat handai dan ahli keluarga duduk bersama, saling menunggu dan menguatkan semangat untuk menghidupkan malam bulan yang penuh keberkatan ini.
Pengalaman berbuka dan menunaikan tarawih di Masjid Istiqlal bukan sekadar menyaksikan himpunan ribuan jemaah, tetapi merasai denyut nadi Ramadan yang sebenar.
Bagi saya, meluangkan masa 24 jam di Jakarta pada Ramadan ini bukan sekadar pengalaman melihat tempat-tempat warga tempatan.
Bahkan ia satu perjalanan yang membuatkan saya sendiri lebih menghargai erti kebersamaan, kesederhanaan dan keindahan bulan yang penuh keberkatan ini.
Oh, ya. Esoknya saya makan juadah yang sama untuk sahur.
Bubur ayam dengan semangkuk bijirin saja. Keropok tidak saya lupa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.