Skip to main content

Iklan

Iklan

terkini

100 botol biskut raya 'BakeEid with Love' hasil air tangan orang kurang upaya & kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
100 botol biskut raya 'BakeEid with Love' hasil air tangan orang kurang upaya & kanak-kanak

Semua peserta projek 'BakeEid with Love' yang berlangsung pada 14 Mac 2025 di IncuBaker Studio. (Gambar: BYSD)

SINGAPURA: Tidak lengkap persiapan lebaran tanpa biskut raya untuk dihidangkan kepada tetamu.

 

Dalam usaha berkongsi keberkatan Ramadan dan menyebarkan kesyukuran menyambut Aidilfitri yang bakal tiba, Persatuan Belia Bedok untuk Orang Kurang Upaya (BYSD) pada 14 Mac, menganjurkan kegiatan membuat biskut raya di IncuBaker Studio.

 

Acara selama setengah hari di bangunan Infinite Studios di Media Circle itu melibatkan 14 murid daripada Lil Changemakers, yang paling kecil berusia empat tahun. Bahan-bahan untuk membuat biskut pula ditaja Prima Flour.

 

Dengan penuh tekun dan semangat ingin menyumbang, kanak-kanak itu berjaya menghasilkan 100 botol kuih raya dengan kerjasama lapan orang kurang upaya daripada BYSD. 

  
 

Botol berisi biskut raya itu kemudiannya diagihkan kepada golongan penerima bantuan di majlis iftar khas yang berlangsung pada 15 Mac sempena projek ‘BakeEid with Love’.



 
Cik Ratu Ganda Sari bersama kedua-dua anak perempuannya menyusun biskut raya yang sudah dibakar ke dalam botol. (Gambar: BYSD)

“Saya membawa anak-anak saya supaya mereka dapat merasai bagaimana kami membuat biskut dan melihat kanak-kanak yang lain juga turut serta untuk sumbang sama, “ kongsi Ratu Ganda Sari, 33 tahun, yang kurang daya penglihatan.

 

Selain Cik Ratu, tujuh lagi wakil BYSD menyumbang tenaga membulatkan doh biskut, membakar dan menyusunnya di dalam botol.

 

Dengan bimbingan cef di dapur Incubaker Studio serta bantuan kanak-kanak daripada Lil Changemakers, sasaran 100 botol biskut raya dapat dicapai dalam masa beberapa jam sahaja.

 

“ Ini adalah salah satu inisiatif yang memberi orang-orang tahu bahawa orang-orang kurang upaya seperti kami juga boleh main peranan dalam masyarakat seperti yang kita lakukan hari ini, “ ujar Cik Ratu Ganda Sari.



 
Cef IncuBaker Studio membuat demonstrasi cara bulatkan dan membakar biskut raya. (Gambar: BYSD)

KEHADIRAN BYSD DI ‘BakeEid with Love’ PUPUK SIFAT EMPATI, INKLUSIF

 

“Harapan kami daripada inisiatif ini sebenarnya adalah untuk memberi kesedaran bagi pihak umum, juga kepada kanak-kanak yang kecil ini untuk belajar tentang inklusiviti di Singapura, " kongsi Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, 32 tahun, Pengurus Pembangunan Perniagaan BYSD, sambil melahirkan rasa gembira dengan hasil kerjasama bersama kanak-kanak daripada Lil Changemakers.

 

"Beri mereka lihat cara orang yang kelainan upaya menjalani kehidupan mereka dan selanjutnya merasa sifat empati, “ ujarnya.



 
Botol biskut raya hasil projek 'BakeEid with Love' hasil air tangan orang kurang upaya & kanak-kanak. (Gambar: BYSD)

Tambah Cik Shiffa Khumaira lagi: “ Bila saya sedang jalan tengok bagaimana keadaan mereka membuat kuih, mereka katakan boleh tak kalau mereka adakan sesi buat kuih seperti ini, tapi di luar bulan Ramadan kerana semerbak bau biskut di dalam dapur.

 

"Mereka sangat nanti-nantikan dan mereka suka sangat berinteraksi dengan kanak-kanak yang comel ini.”

 

Selain menyediakan biskut raya dan menganjurkan majlis berbuka puasa, BYSD juga mengadakan projek pengumpulan dana dan pungutan zakat untuk diagihkan kepada golongan kurang upaya yang memerlukan.



 
Sumber : BERITA Mediacorp/SF
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan