Tempoh 'circuit breaker' keluarga 5 anggota belajar, bekerja dari rumah
Kesemua pelajar dari peringkat pra-sekolah sehingga Institut Pengajian Tinggi (IHL) menjalani pembelajaran dari rumah sepenuhnya bermula hari ini (8 Apr).
BERITAmediacorp: Kesemua pelajar dari peringkat pra-sekolah sehingga Institut Pengajian Tinggi (IHL) menjalani pembelajaran dari rumah sepenuhnya bermula hari ini (8 Apr).
Langkah tersebut susulan kebanyakan tempat kerja yang menghentikan operasi pada 7 April demi membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Demi mengekalkan kecekapan dalam menyelesaikan tugasan, anggota keluarga boleh menerapkan strategi bagi menangani cabaran sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan, terutama sekali jika mereka mempunyai ramai anggota keluarga.
SUASANA RUMAH TIDAK SEPI SEPERTI HARI-HARI LAIN
Lazimnya, Cik Emilia Idris, 41 tahun harus pergi ke tempat kerjanya di politeknik sebelum jam 9 pagi setiap hari.
Kini, beliau akan ditemani suaminya, Encik Irfan Ismail, 42 tahun, seorang pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE) di rumah, kerana mereka perlu bekerja di rumah sahaja sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan.
Suasana rumah mereka yang seringnya sunyi pada sebelah petang, kini diiringi jeritan tiga anak lelaki mereka yang berusia antara empat hingga 14 tahun.
Anak-anak mereka harus 'bersekolah' menerusi Pembelajaran Di Rumah (HBL).
Cik Emilia berkata: "Jadi saya tidak tahu apa ingin dijangkakan dan saya juga agak gementar, agak bimbang, rasa seram-seram juga kerana kerja itu perlu, kerja itu penting dan banyak kerja untuk dilakukan. Pada masa yang sama harus jaga anak-anak juga."
CABARAN BEKERJA DI RUMAH TENTU ADA
Cik Emilia berkongsi, anak sulungnya yang berusia 14 tahun dan anak kedua yang berusia 10 tahun agak berdikari.
Namun, beliau menghadapi sedikit cabaran untuk anak ketiganya.
"Yang ketiga, anak yang terakhir, empat tahun dan amat banyak memerlukan perhatian. Jadi kalau kerja kami, saya ada pertemuan dan sebagainya dan perlu dilakukan secara online, jadi saya terpaksa bisukan pertemuan dan agak mencabar juga sebab profesionalisme harus terjaga," kata Cik Emilia.
Disebabkan itu Cik Emilia, mengadakan semacam jadual antara beliau dan suaminya jika mereka perlu melakukan 'pertemuan kerja' secara online sambil memantau anak-anak mereka.
"Jadual itu perlu. Antara saya dan suami saya, kami adakan jadual jadi sekurang-kurangnya ada rasa dan rupa, masa itu tersusun dan tempat itu tersusun, semua ahli keluarga faham kami masing-masing ada tanggungjawab sendiri termasuk yang kecil sekali," ujar Cik Emilia kepada BERITAmediacorp.
Mentelah lagi, beliau kini sibuk menyiapkan bahan kurikulum untuk penggal baru yang akan bermula dua minggu lagi.
STRATEGI UNTUK KURANGKAN GANGGUAN DI RUMAH
Satu daripada langkah mengurangkan 'gangguan' dari anak-anaknya, adalah dengan membahagi-bahagikan ruang-ruang 'beroperasi'.
Cik Emilia berkata: "Jadi kami pun telah bagi-bagikan tempat masing-masing. Kami hadkan. Jadi ruang saya di sini, bapanya di sini, anak-anak masing-masing ada ruang sendiri. Jadi mereka tahu kalau saya di ruang saya, itu tempat bekerja saya dan kalau boleh jangan usik. Mereka pun tahu.
"Jadi kalau seperti anak bongsu, yang kecil usik saya dan sebagainya, anak sulung atau nombor dua akan hentikannya. Jadi mereka tahu. Jadi kawasan itu dihadkan jadi kami hormati ruang masing-masing."
Pasangan suami isteri itu juga membuat jadual khas sepanjang hari bagi memastikan anak-anak mereka tidak hilang tumpuan kepada pelajaran mereka.
Waktu makan dan bersenam turut disusun rapi di antara masa belajar agar mereka tidak rasa terlalu terkongkong, menurut mereka.
Cik Emilia akur bahawa cara-cara inovatif genting dalam mengekalkan kecekapan setiap anggota keluarganya dalam melakukan tugasan masing-masing, khususnya dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan yang akan berlangsung selama empat minggu sehingga 4 Mei nanti.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.