"Tembak saja jika ingkar perintah berkurung," usul Duterte
Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberi amaran keras kepada sesiapa saja yang melanggar undang-undang sepanjang tempoh perintah berkurung dikuatkuasakan.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte. (Gambar: REUTERS/Romeo Ranoco)
MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberi amaran keras kepada sesiapa saja yang melanggar undang-undang sepanjang tempoh perintah berkurung dikuatkuasakan.
Mereka akan ditembak jika membuat kacau sepanjang tempoh sebulan perintah itu dikuatkuasakan.
Encik Duterte berkata, amat penting untuk setiap rakyat memberi kerjasama dan mematuhi arahan kuarantin kerana ia satu-satunya cara untuk memperlahankan penularan wabak COVID-19.
“Ini amaran kepada semua. Patuhi amaran pemerintah kerana ia amat penting demi keselamatan anda semua," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan melalui televisyen semalam.
“Dan jangan membahayakan nyawa para pekerja kesihatan, doktor... kerana ia satu jenayah yang serius. Saya sudah mengarahkan polis dan askar, sekiranya ada orang yang membuat kacau sehingga membahayakan nyawa, tembak saja orang itu."
“Jangan menakut-nakutkan pihak berkuasa. Jangan mencabar pemerintah. Anda akan kalah,” katanya dalam ucapan bahasa Inggeris dan Tagalog.
Amaran Encik Duterte itu dikeluarkan selepas para penduduk kawasan setinggan di Manila mengadakan tunjuk perasaan dekat lebuh raya. Mereka mendakwa mereka tidak menerima sebarang makanan dan bantuan sejak perintah berkurung itu dikuatkuasakan lebih dua minggu lalu.
Para pegawai keselamatan desa dan polis menggesa para penduduk supaya pulang ke rumah masing-masing, tetapi mereka enggan berbuat demikian, menurut laporan polis.
Pihak polis berjaya meleraikan bantahan itu dan memberkas seramai 20 orang, tambah laporan tersebut.
Setakat sehingga Rabu (1 April) sebanyak 2,311 kes COVID-19 dilaporkan di Filipina dan sekurang-kurangnya 96 orang meninggal dunia akibat wabak itu.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.