Skip to main content

Temasek Review diarah betulkan catatan Facebook berhubung dakwaan penghantar GrabFood didenda semasa tempoh pemutus jangkitan

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam mengarahkan Pejabat Pofma supaya mengeluarkan notis pembetulan kepada Temasek Review berhubung satu catatan Facebook yang mendakwa bahawa seorang penghantar GrabFood didenda oleh pegawai polis.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Apr 2020 05:19PM Dikemas Kini : 17 Apr 2020 09:18PM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam mengarahkan Pejabat Pofma supaya mengeluarkan notis pembetulan kepada Temasek Review berhubung satu catatan Facebook yang mendakwa bahawa seorang penghantar GrabFood didenda oleh pegawai polis.

Catatan di laman Facebook Temasek Review pada Rabu (15 Apr) menyatakan penghantar makanan itu didenda sebanyak S$300 oleh polis kerana memakai sehelai kain sebagai pelitup atau kerana meletak kenderaan sembarangan.

Kenyataan itu adalah palsu, menurut pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online dalam satu kenyataan media hari ini (17 Apr).

Temasek Review diarah menerbitkan notis pembetulan mengenai catatannya itu.

Dalam satu catatan Facebook pada Jumaat, Pasukan Polis Singapura (SPF) menjelaskan bahawa penghantar GrabFood itu menghampiri pegawai polis berkenaan untuk meminta bantuan kerana mensyaki beberapa barangan dicuri dari motosikalnya. Pegawai itu sedang mengambil kenyataan daripadanya, menurut polis.

SPF menambah bahawa dakwaan mengenai denda yang dikenakan "amat tidak bertanggungjawab dan menjejas kepercayaan dan keyakinan awam terhadap polis".

"Ia juga menjejas kewibawaan pegawai kami, yang bertugas di barisan hadapan untuk memastikan rakyat Singapura dalam keadaan selamat semasa tempoh mencabar ini. Kami sepatutnya bersatu hati, dan bukan sebaliknya menanam perpecahan dan perselisihan faham," menurut polis.

Laman Pemerintah Factually, juga menjelaskan bahawa di bawah peraturan COVID-19, pelitup yang diperbuat daripada kain dan tekstil dibenarkan.

"Tiada saman dikeluarkan kepada penghantar makanan itu, dan hal tersebut tiada kaitan langsung dengan langkah pemutus rantaian atau letak kenderaan sembarangan," menurutnya.

"Kami menasihatkan orang ramai agar tidak membuat andaian sendiri dan/atau menyebarkan berita angin yang tidak terbukti benar."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita