Nvidia siasat dakwaan CEO Jensen Huang jadi sasaran perisikan asing, selepas beliau akui hubungan sulit
Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang mengaku menjalin hubungan sulit dan memohon maaf kepada keluarga serta kakitangannya, sedang syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) itu memulakan siasatan bebas bagi menentukan sama ada beliau menjadi sasaran operasi perisikan asing yang dikaitkan dengan hubungan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang berucap semasa Sidang Puncak "Invest in Germany" di Berlin, Jerman, pada 19 Oktober 2026. (Gambar: REUTERS/Lisi Niesner)
- Nvidia CEO Jensen Huang admitted to cheating and apologised to his family and staff in a letter on Nov 8.
- Nvidia has launched an independent investigation, led by independent directors with help from outside advisers, after reports alleged that Huang may have been targeted in a foreign intelligence operation. He pledged to cooperate.
- Reports linked the affair to Alice Huang, a former executive at Megaspeed in Singapore who was previously investigated by US authorities. Megaspeed and its Malaysian subsidiary, Speedmatrix, may face greater scrutiny.
- Concerns about China’s access to chips and sensitive information have increased pressure on Nvidia, as its shares fell and members of Congress requested a briefing. The board has so far found no evidence that national security or company secrets were compromised.
- Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, mengaku berlaku curang dan memohon maaf kepada keluarga serta kakitangan dalam surat pada 8 November.
- Nvidia melancarkan siasatan bebas, dikendalikan pengarah bebas dengan bantuan penasihat luar, selepas laporan mendakwa Huang mungkin menjadi sasaran operasi perisikan asing; beliau berjanji bekerjasama.
- Laporan mengaitkan hubungan itu dengan Alice Huang, bekas eksekutif Megaspeed di Singapura, yang pernah disiasat pihak berkuasa Amerika; Megaspeed dan anak syarikat Malaysia, Speedmatrix, mungkin menerima penelitian lebih ketat.
- Kebimbangan akses China kepada cip serta maklumat sensitif meningkatkan tekanan terhadap Nvidia, ketika sahamnya merosot dan anggota Kongres meminta taklimat; lembaga setakat ini tidak melihat bukti keselamatan negara atau rahsia syarikat terjejas.
AMERIKA SYARIKAT: Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang mengaku menjalin hubungan sulit dan memohon maaf kepada keluarga serta kakitangannya, sedang syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) itu memulakan siasatan bebas bagi menentukan sama ada beliau menjadi sasaran operasi perisikan asing yang dikaitkan dengan hubungan tersebut.
"Saya berlaku curang terhadap isteri saya. Perbuatan saya telah melukakan hati isteri dan anak-anak kami. Tiada alasan bagi apa yang saya lakukan. Saya benar-benar menyesal," tulis Encik Huang dalam surat kepada kakitangan Nvidia pada Ahad (8 Nov).
Encik Huang tidak menamakan wanita yang terlibat dalam hubungan sulit itu.
Bagaimanapun, laporan New York Times sebelum ini mendakwa beliau mempunyai hubungan dengan Alice Huang, seorang mantan eksekutif syarikat teknologi Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat dilaporkan pernah menyiasat Alice Huang dan membuat kesimpulan bahawa beliau bertindak sebagai ejen perisikan China.
Alice Huang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Jensen Huang.
NVIDIA MULAKAN SIASATAN BEBAS
Dalam satu kenyataan pada Ahad (8 Nov), Nvidia menyatakan lembaga pengarahnya memulakan siasatan bebas susuli laporan bahawa pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya menjadi sasaran operasi perisikan asing.
Siasatan tersebut akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa yang dianggotai para pengarah bebas, dengan bantuan penasihat undang-undang luar.
Nvidia menyatakan lembaga pengarahnya setakat ini tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa keselamatan negara Amerika Syarikat atau rahsia syarikat telah terjejas.
Bagaimanapun, siasatan itu akan meneliti semua maklumat yang tersedia.
Encik Huang menyokong sepenuhnya siasatan berkenaan dan berikrar untuk memberikan kerjasama.
Megaspeed, yang membeli cip AI daripada Nvidia, sebelum ini turut menjadi perhatian pihak berkuasa Amerika kerana disyaki membantu Beijing mendapatkan akses kepada cip canggih yang dilarang dieksport ke China.
Washington telah mengenakan sekatan eksport sejak 2022 bagi mengehadkan akses Beijing kepada cip Nvidia yang canggih serta peralatan untuk menghasilkannya.
TEKANAN TERHADAP NVIDIA MENINGKAT
Perkembangan tersebut menambah tekanan terhadap Nvidia ketika para pelabur semakin bimbang mengenai kemampanan pasaran AI.
Saham syarikat yang bernilai AS$4.5 trilion (S$5.76 trilion) itu telah kehilangan semua keuntungan yang dicatatkan sejak awal tahun ini, di tengah-tengah kejatuhan lebih meluas dalam pasaran saham teknologi.
Dan Ives, rakan kongsi dan pengarah urusan kanan Yorkville Ives & Co, berkata Encik Huang berdepan risiko disingkirkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, bergantung pada hasil siasatan lembaga pengarah.
Beliau berpandangan perkembangan itu juga boleh mencetuskan beberapa siasatan Kongres Amerika dan meningkatkan penelitian terhadap penjualan cip ke China.
Beberapa anggota kanan Parti Republican di Dewan Perwakilan Amerika telah meminta Encik Huang memberikan taklimat kepada Kongres bulan ini berhubung laporan New York Times itu.
Dalam surat bertarikh 4 November, mereka menyuarakan kebimbangan serius mengenai kemungkinan China mendapat akses kepada teknologi dan maklumat sensitif Amerika.
AKSES KEPADA PEGAWAI KANAN AMERIKA JADI KEBIMBANGAN
Bekas pegawai perisikan Amerika, Nicholas Eftimiades, berkata operasi pengintipan yang didakwa berlaku mungkin bertujuan mendapatkan lebih daripada sekadar teknologi Nvidia.
Beliau berkata Encik Huang mempunyai akses kepada Rumah Putih serta hubungan dengan pegawai kanan pemerintah Amerika.
Menurutnya, perisikan China mungkin turut berminat mengetahui pendirian pentadbiran Amerika mengenai teknologi Nvidia dan bagaimana Beijing boleh mempengaruhi dasar tersebut.
Encik Eftimiades menjangkakan Megaspeed di Singapura dan anak syarikatnya di Malaysia, Speedmatrix, akan menghadapi penelitian lebih ketat susuli dakwaan tersebut.
Speedmatrix dilaporkan ditubuhkan untuk menerima penghantaran cip canggih.
Sementara itu, Encik Huang menegaskan komitmennya untuk melindungi Nvidia dan menyokong keselamatan negara Amerika Syarikat.
Beliau turut mengakui telah mengecewakan pihak yang menaruh kepercayaan kepadanya dan berikrar untuk mendapatkan semula keyakinan kakitangan, lembaga pengarah, rakan niaga serta pemegang saham Nvidia.
Nvidia sebelum ini menyatakan Encik Huang berinteraksi dengan ribuan eksekutif pelanggan setiap tahun, dan pelanggan perkhidmatan pengkomputeran awan di Asia hanya menerima maklumat perniagaan biasa, bukan rahsia perdagangan sensitif syarikat atau maklumat berkaitan keselamatan negara Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.