Skip to main content

Teknologi

Meta lancar Muse Charm, Zuckerberg alih tumpuan daripada metaverse kepada ‘kecerdasan super peribadi’

Meta memperkenalkan peranti baharu Muse Charm, sedang syarikat teknologi itu mengalihkan tumpuannya daripada metaverse kepada apa yang disifatkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark Zuckerberg sebagai "kecerdasan super peribadi".

Anggaran Waktu Membaca:
Meta lancar Muse Charm, Zuckerberg alih tumpuan daripada metaverse kepada ‘kecerdasan super peribadi’

Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg memperkenalkan Muse Charm semasa acara Meta Connect di ibu pejabat syarikat itu di Menlo Park, California, Amerika Syarikat, pada 23 September 2026. (Gambar: REUTERS/Carlos Barria)

Diterbitkan : 24 Sep 2026 02:34PM
  • Meta memperkenalkan Muse Charm di Menlo Park ketika Mark Zuckerberg mengalihkan fokus syarikat daripada metaverse kepada “kecerdasan super peribadi”.
  • Peranti sebesar jam poket itu membolehkan pengguna mengetik untuk mengakses AI Muse, dengan skrin dua inci dan modem 5G tanpa fungsi panggilan.
  • Meta mahu mengurangkan kebergantungan pada Apple dan Google, sementara Muse mencatat jutaan muat turun dan akan hadir pada cermin mata pintar Meta.
  • Penganalisis melihat tarikan kepada Generasi Z, tetapi Jitesh Ubrani dan Linda Sui membayangkan cabaran pasaran jika fungsinya tidak cukup unik.
Dijana oleh AI
MENLO PARK: Meta memperkenalkan peranti baharu Muse Charm, sedang syarikat teknologi itu mengalihkan tumpuannya daripada metaverse kepada apa yang disifatkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark Zuckerberg sebagai "kecerdasan super peribadi".

Peranti sebesar jam poket itu membolehkan pengguna mengakses ejen kecerdasan buatan (AI) Muse secara langsung dengan mengetik peranti tersebut, tanpa perlu menggunakan aplikasi AI pada telefon bijak.

Langkah itu mencerminkan usaha Meta untuk membangunkan platform teknologinya sendiri tanpa terlalu bergantung kepada sistem operasi Apple dan Google.

Encik Zuckerberg berkata semasa persidangan tahunan Meta Connect bahawa "kecerdasan super peribadi" dijangka muncul lebih awal dan mempunyai kesan yang jauh lebih besar berbanding metaverse.

"Kami sudah mengalihkan tumpuan kepada usaha membangunkan peranti terbaik bagi kecerdasan super peribadi," katanya.

Beliau menambah Muse juga akan disediakan menerusi rangkaian cermin mata pintar Meta tidak lama lagi.

Perkembangan itu menyusuli sambutan kukuh terhadap Muse sejak beberapa hari lalu, dengan ejen AI tersebut mencatatkan jutaan muat turun.

Menurut beberapa penganalisis, ia mungkin merupakan pelancaran aplikasi terbesar di Amerika Syarikat sejak ChatGPT diperkenalkan pada November 2022.

Muse berupaya mengautomasikan pelbagai tugas, daripada membuat tempahan penerbangan hingga menguruskan pemfailan cukai.

SASAR PENGGUNA MUDA

Muse Charm mempunyai skrin berukuran sekitar dua inci atau lima sentimeter yang boleh dikendalikan menggunakan ibu jari.

Ia turut dilengkapi modem 5G yang membolehkan pengguna mengakses Muse tanpa sambungan Wi-Fi, namun peranti itu tidak boleh digunakan untuk membuat panggilan telefon.

Penganalisis berpandangan reka bentuk Muse Charm mungkin menarik perhatian pengguna Generasi Z, khususnya ketika peranti teknologi lama seperti kamera digital, telefon lipat dan pemain MP3 kembali mendapat perhatian.

Pengarah IDC Jitesh Ubrani berkata peranti itu mungkin turut mengingatkan sesetengah pengguna kepada Tamagotchi, haiwan peliharaan maya yang menjadi fenomena pada akhir 1990-an.

Namun, terdapat persoalan sama ada Muse Charm mampu mendapat sambutan meluas.

Peranti AI serupa sebelum ini berdepan kesukaran untuk menembusi pasaran.

Antaranya Rabbit R1, yang mendapat perhatian ketika dilancarkan pada 2024 tetapi gagal mengekalkan momentum selepas dikritik kerana ciri AI yang tidak memenuhi jangkaan serta pengalaman penggunaan yang tidak konsisten.

Pengasas firma penyelidikan pasaran Smart Analytics Global Linda Sui berkata Muse Charm mungkin sukar menjadi produk arus perdana sekiranya ia tidak menawarkan fungsi unik yang tidak dapat digantikan dengan mudah oleh telefon bijak, jam pintar, fon telinga atau cermin mata pintar.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita