Meta hapuskan iklan aplikasi penipuan yang menyamar sebagai aplikasi lucah susulan amaran India
Meta menghapuskan berpuluh-puluh iklan selepas India memberi amaran mengenai iklan di Facebook dan Instagram yang menggunakan kandungan seksual untuk memancing pengguna memuat turun perisian hasad.
Orang ramai dilihat di sebalik logo Meta Platforms semasa satu persidangan di Mumbai, India, pada 20 September 2023. (Gambar fail: REUTERS/Francis Mascarenhas)
- Meta menghapuskan puluhan iklan di Facebook dan Instagram selepas pemerintah India memberi amaran tentang iklan berunsur seksual yang menipu pengguna memuat turun perisian hasad.
- Iklan tersebut menggunakan nama seperti “Night Play” dan “Kyss” serta membawa pengguna ke laman web pancingan data yang boleh mencuri maklumat bank dan memindahkan wang tanpa kebenaran.
- Reuters mendapati 39 iklan masih aktif selepas amaran dikeluarkan, namun Meta memansuhkan semua iklan itu selepas dimaklumkan.
- Pemerintah India menegaskan aplikasi hasad ini boleh mengakses data peribadi dan menimbulkan kerugian besar akibat penipuan siber, mendorong Meta memperhebat usaha membanteras iklan sedemikian.
Perisian tersebut boleh mencuri maklumat perbankan dan mengeluarkan wang daripada akaun bank.
Menurut data pemerintah, India merekodkan kerugian hampir AS$2.4 bilion (S$3.07 bilion), akibat penipuan siber pada 2025.
Pemerintah berkata iklan di Facebook dan Instagram yang menggunakan nama seperti “Night Play” dan “Kyss” mengarahkan pengguna ke laman web pancingan data.
Ia turut mengesan peningkatan penipuan kewangan yang melibatkan “aplikasi Android berniat jahat yang menyamar sebagai aplikasi lucah”.
Reuters mendapati sekurang-kurangnya 39 iklan sedemikian masih aktif selepas nasihat pemerintah dikeluarkan pada Isnin (31 Ogos).
Sebahagian besar iklan itu menggunakan imej kecil video berunsur seksual untuk menarik perhatian pengguna.
Meta memansuhkan semua iklan tersebut tidak lama selepas Reuters memaklumkan perkara itu kepada syarikat berkenaan.
Meta tidak memberikan maklum balas terhadap pertanyaan Reuters.
Polisi Meta menyatakan iklan tidak boleh mengandungi unsur lucah atau aktiviti seksual.
Iklan yang menggunakan amalan menipu atau mengelirukan, termasuk untuk memperdayakan pengguna supaya menyerahkan wang, turut dilarang.
Nasihat pemerintah India menyatakan aplikasi tersebut boleh mengakses maklumat yang tersimpan dalam telefon pengguna secara rahsia.
Aplikasi berkenaan juga boleh merakam kata laluan sekali guna dan nombor pengenalan peribadi, PIN, bank, selain memindahkan wang daripada akaun tanpa pengetahuan pemilik.
Salah satu iklan yang masih aktif membawa pengguna ke laman web yang mempromosikan aplikasi video.
Aplikasi itu menjanjikan ratusan video lucah dan kandungan sepanjang masa.
Pengguna perlu memuat turun fail bernama “Movexa.apk” secara terus, di luar gedung aplikasi rasmi, untuk mendapatkan akses.
Ini merupakan kali kedua dalam beberapa minggu kebelakangan ini India membangkitkan kebimbangan mengenai penipuan kewangan di platform teknologi utama.
Reuters sebelum ini melaporkan bahawa pemerintah India mengarahkan Google menutup ratusan akaun di platform Firebase.
Penjenayah didapati menggunakan akaun-akaun tersebut untuk menyamar sebagai bank-bank utama.
Meta sebelum ini menganggarkan bahawa iklan penipuan dan barangan yang dilarang boleh menyumbang sekitar 10% daripada hasilnya pada 2024.
Jumlah itu dianggarkan kira-kira AS$16 bilion (S$20.5 bilion).
Meta bagaimanapun menyatakan pihaknya sedang memperhebat usaha membanteras iklan sedemikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.