ATM tukar mata wang diperkenal di estet perumahan
Perlu ke luar negara pada saat-saat akhir namun sukar mencari pengurup wang berdekatan dengan rumah anda? Satu mesin ATM baru mungkin boleh menjadi huraian.
Mesin FX Buddy (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Perlu ke luar negara pada saat-saat akhir namun sukar mencari pengurup wang berdekatan dengan rumah anda? Satu mesin ATM baru mungkin boleh menjadi huraian.
Pengasas FX Buddy, Encik Andy Tang dan Encik Samuel Chan berkata mesin ATM pertukaran wang asing tersebut menawarkan kadar pertukaran yang baik, 24 jam sehari.
"Kami mendapat ilham daripada keinginan memberi nilai tambah dengan mencipta mesin (pertukaran wang) yang mengurangkan kos sewa dan tenaga kerja," kata Encik Tang dalam wawancara bersama Mediacorp.
Dilancarkan pada Jumaat (19 Apr), ATM pengurup wang FX Buddy terletak di luar Heartland Mall di Kovan.
Menurut Encik Tang, menempatkan mesin itu di kawasan perumahan adalah keputusan yang disengajakan "agar para penduduk tidak perlu ke CBD untuk mendapatkan kadar (pertukaran mata wang asing) yang terbaik".
Encik Tang dan Encik Chan berkata mereka bercadang meluaskan operasi ke kawasan-kawasan kejiranan lain dan mungkin di lapangan terbang pada masa hadapan.
Mesin tersebut, yang buat masa ini dilanggani sekitar 10 orang sehari, adalah yang pertama seumpamanya yang membenarkan pelanggan membeli dan menjual mata wang asing.
Beberapa hotel di Singapura juga mempunyai mesin pertukaran wang namun ia hanya membenarkan pengguna menukar wang asing kepada mata wang Singapura.
FX Buddy pula membenarkan pelanggan menukar mata wang setempat kepada 10 mata wang asing, dan menukar tujuh mata wang asing kepada dolar Singapura.
Pembayaran boleh dibuat secara tunai atau PayNOW, dengan pembayaran NETS diterima mulai minggu hadapan.
Khidmat ini bagaimanapun hanya boleh dilanggani warga Singapura dan penduduk tetap, yang perlu mengimbas kad identiti mereka di mesin itu semasa menggunakannya.
Encik Tang berkata FX Buddy menggunakan kadar antara bank sebagai tanda aras perbandingan, dan kadar ini bertukar-tukar setiap hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.