Skip to main content

Iklan

Iklan

Tan Cheng Bock tegur PAP; jangan 'takut-takutkan rakyat S'pura' dengan komen pembangkang akan bentuk pemerintah

Dr Tan Cheng Bock dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) menggesa Parti Tindakan Rakyat (PAP) supaya jangan "menakut-nakutkan rakyat Singapura" dengan menyatakan bahawa parti pembangkang boleh membentuk pemerintah campuran selepas Pilihan Raya Umum.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jul 2020 06:27PM Dikemas Kini : 03 Jul 2020 09:06PM

SINGAPURA: Dr Tan Cheng Bock dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) menggesa Parti Tindakan Rakyat (PAP) supaya jangan "menakut-nakutkan rakyat Singapura" dengan menyatakan bahawa parti pembangkang boleh membentuk pemerintah campuran selepas Pilihan Raya Umum.

Dr Tan berkata demikian kepada para wartawan pada Jumaat (3 Jul) setelah mengunjungi flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Teck Whye Lane di mana beliau diminta mengulas mengenai komen Encik Chan Chun Sing berkenaan bagaimana tiga parti pembangkang terbesar itu boleh membentuk pemerintah campuran sekiranya mereka memperolehi jumlah kerusi yang mencukupi.

Dr Tan berkata: "Beritahu mereka, jangan menakut-nakutkan rakyat Singapura. Saya rasa anda boleh memperdaya rakyat sekali saja tetapi anda tidak boleh melakukannya setiap kali.

"Mereka sudah mencuba strategi ini sebelum ini - memberitahu rakyat bahawa anda akan mendapati tiada lagi PAP yang memerintah Singapura apabila terjaga dari tidur sehari selepas Hari Mengundi. Bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana ia tidak mungkin akan berlaku dan bagi saya ia adalah satu muslihat politik," tambah Dr Tan.

Encik Chan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, mengeluarkan komen itu dalam satu sidang dialog yang dianjurkan oleh akhbar bahasa Mandarin Lianhe Zaobao semalam.

Menurut laporan Mediacorp berkenaan acara itu, Encik Chan semasa bercakap dalam bahasa Mandarin berkata: "Berdasarkan perspektif kami, kami tidak melihat mereka sebagai pembangkang. Kami menganggap mereka sebagai parti-parti yang mungkin akan menggantikan Pemerintah selepas 10 Jul.

Bagi pilihan raya kali ini, tiga parti pembangkang terbesar yang mencabar PAP adalah PSP, Parti Pekerja (WP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP).

PSP membariskan 24 calon, WP pula menampilkan 21 calon manakala SDP dengan 11 calon. Sebanyak 93 kerusi akan dipertandingkan.

Bercakap kepada pihak media pada Jumaat, Dr Tan turut menarik perhatian bahawa rakyat Singapura tidak perlu bimbang kerana Singapura bukan sahaja ditadbir oleh parti politik, tetapi juga perkhidmatan awam negara ini.

PERLU PASTIKAN COVID-19 TERKAWAL: TAN CHENG BOCK

Dr Tan juga berkata bahawa pemerintah PAP sudah mengalihkan tumpuan dari kesihatan dan kesejahteraan rakyat dalam menangani pandemik COVID-19 dan kini terlalu menumpukan perhatian kepada bagaimana untuk membantu rakyat Singapura melalui pekerjaan.

"Faktor utama bukan sahaja pekerjaan, pekerjaan, pekerjaan. Ia adalah nyawa kita, nyawa anda. Itulah yang perlu kita uruskan," katanya.

"Dan sekiranya kami masuk Parlimen sekalipun, kami akan memastikan bahawa COVID-19 benar-benar terkawal kerana jika tidak terkawal, sempadan kita akan terus ditutup. Pelancong tidak akan datang ke Singapura," kata Dr Tan.

"Itulah bidang yang paling penting, jika mereka tidak menumpukan perhatian kepada pengurusan COVID-19, dan hanya menumpukan perhatian kepada politik saja, kita akan menanggung padahnya" kata Dr Tan.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan