Skip to main content

Iklan

Iklan

'Tak sabar nak balik': Budak lelaki 4 tahun dengan sindrom keradangan dikaitkan dengan COVID-19, keluar dari ICU

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang mengalami gejala radang dikaitkan dengan jangkitan COVID-19  dipindahkan daripada unit jagaan rapi (ICU) kanak-kanak ke wad kebergantungan tinggi pada  Selasa (9 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
'Tak sabar nak balik': Budak lelaki 4 tahun dengan sindrom keradangan dikaitkan dengan COVID-19, keluar dari ICU

Muhammad Ali Zafir Mohamed Azmi di wad kebergantungan tinggi di KKH dalam gambar yang dipetik pada 10 Nov 2021. (Gambar ihsan: Marilyn Cacanindin)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 08:15AM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 08:17AM

SINGAPURA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang mengalami gejala radang dikaitkan dengan jangkitan COVID-19 dipindahkan daripada unit jagaan rapi (ICU) kanak-kanak ke wad kebergantungan tinggi pada Selasa (9 Nov).

Bercakap kepada Mediacorp semalam, Cik Marilyn Cacanindin, 39 tahun, berkata keadaan anaknya itu, Muhammad Ali Zafir Mohamed Azmi, "lebih baik sekarang" dan dia "tak sabar untuk pulang".

"Dia asyik minta makanan McDonald's sejak petang tadi, tetapi saya kata sekarang 'tak boleh' kerana dia belum baik betul,"kata Cik Marilyn.

"Semua doktor dan jururawat masih memantau rapi keadaanya kerana dia masih lemah," tambahnya dalam catatan di Facebook.

BACA: Sakit perut, tersentak tidur; ibu budak 4 tahun beri amaran gejala pasca COVID-19 selepas anak masuk ICU
Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana mendoakan anaknya itu.

Ali dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada 1 Nov selepas mengalami gejala termasuk demam panas berterusan, menggigil dan muntah.

Dia langsung ditempatkan di ICU pada hari yang sama dan diintubasi.

Dia disahkan menghidap sindrom keradangan berbilang sistem pada kanak-kanak (MIS-C), sindrom yang jarang berlaku dan dikaitkan dengan kanak-kanak yang dikatakan telah pulih daripada COVID-19.

Gejala lain termasuk sukar bernafas dan boleh menjejaskan pelbagai organ termasuk otak dan buah pinggang.

Ali adalah salah satu daripada empat kanak-kanak dikesan menghidap MIS-C daripada lebih 8,000 kes COVID-19 pediatrik di Singapura sejak pandemik mula melanda, kata Kementerian Kesihatan pada Sabtu lalu.

Kes lain melibatkan bayi perempuan berusia dua bulan dan dua budak lelaki berusia tiga dan lapan tahun.

Pada Isnin, kes kelima MIS-C diumumkan Menteri Negara Kanan Kesihatan, Dr Janil Puthucheary, semasa satu sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF), namun butiran lain tidak diberikan.

"Harap-harap Ali kembali sihat dan mendapatkan semula kekuatannya,"kata Cik Marilyn.

"Dia seorang budak yang aktif dan gemar bermain bersama adik beradik dan makciknya".

Menurut Cik Marilyn lagi Ali sudah boleh membuat panggilan video bersama guru dan pengetua di tajaka selain berbual-bual dengan datuk neneknya.

"Dia begitu gembira dan tidak sabar untuk kembali ke sekolah,"ujarnya.  

Sumber : Today/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan