Taiwan siasat jika gigitan tikus punca kes jangkitan baru COVID-19
Taiwan pada Jumaat (10 Dis) menyatakan ia sedang menyiasat sama ada gigitan seekor tikus berkemungkinan menjadi punca seorang pekerja di sebuah makmal kawalan tinggi diuji positif koronavirus. Kes itu adalah jangkitan tempatan yang pertama di wilayah tersebut dalam masa beberapa minggu.
(Gambar: Philippe Merle/AFP)
TAIPEI: Taiwan pada Jumaat (10 Dis) menyatakan ia sedang menyiasat sama ada gigitan seekor tikus berkemungkinan menjadi punca seorang pekerja di sebuah makmal kawalan tinggi diuji positif koronavirus. Kes itu adalah jangkitan tempatan yang pertama di wilayah tersebut dalam masa beberapa minggu.
Para pegawai kesihatan sedang berlumba-lumba untuk mengetahui bagaimana seorang pekerja wanita di Academia Sinica, sebuah institut kajian terkenal di Taiwan, dijangkiti COVID-19 pada bulan lalu.
Taiwan berhasil kekal bebas COVID-19 dengan penutupan sebahagian besar sempadan dan kuarantin ketat yang dikuatkuasakannya selama ini. Ia juga berjaya mengekang penularan besar pada awal tahun ini dengan merintiskan langkah-langkah pencegahan COVID-19.
Pihak berkuasa kesihatan mengesahkan pekerja makmal yang diuji positif itu digigit dua kali oleh seekor tikus yang dijangkiti koronavirus.
Namun, ia menyatakan pihaknya masih menyiasat sama ada gigitan tikus adalah punca yang menyebabkan pekerja berkenaan terjangkit atau berlaku di tempat lain di dalam makmal tersebut.
"Sama ada ia dari tempat kerja atau masyarakat, kami percaya kemungkinan jangkitan di tempat kerja adalah lebih tinggi kerana kami mempunyai sifar jangkitan yang disahkan dalam masyarakat," kata Menteri Kesihatan Chen Shih-chung kepada para wartawan.
"Bagi tempat kerja, sama ada di pejabat atau makmal, makmal lebih berisiko tinggi tetapi sama ada jangkitan itu daripada gigitan (tikus) atau persekitaran, siasatan lanjut perlu dijalankan," tambah beliau.
Pekerja makmal itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke mana-mana baru-baru ini dan sudahpun menerima dua dos vaksin Moderna. Makmal Academia Sinica mempunyai tahap kawalan kesihatan biologi yang kedua tertinggi.
Kali terakhir Taiwan mengesahkan kes positif di dalam wilayahnya adalah pada 5 November. Hampir 100 kontak rapat pekerja makmal berkenaan sudahpun dikesan dan diletakkan di bawah kuarantin.
Taiwan mendapat pujian seluruh dunia sejak awal pandemik atas kepantasannya menangani penyakit maut yang muncul itu dan berjaya memutuskan rantaian jangkitan tempatan.
Ia hanya mencatatkan lebih 14,500 kes tempatan dan 848 kematian, dengan sebahagian besar kes jangkitan dilaporkan pada awal pandemik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.