Tadika masjid sokong pembelajaran murid yang belum bersedia kembali ke kelas
Apabila tadika masjid Mujahidin bagi peringkat K1 dan K2 dibuka semula pada Selasa (2 Jun), ibu bapa perlu mematuhi beberapa peraturan kesihatan sebelum menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
BERITAmediacorp: Apabila tadika masjid Mujahidin bagi peringkat K1 dan K2 dibuka semula pada Selasa (2 Jun), ibu bapa perlu mematuhi beberapa peraturan kesihatan sebelum menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Mereka dikehendaki mengambil suhu badan dan memastikan anak mereka sihat sebelum keluar rumah.
Waktu melaporkan diri dilakukan secara berperingkat-peringkat dan murid-murid juga perlu membawa pelitup tambahan.
MURID-MURID DIPERIKSA LAGI SEBELUM MASUK KE KELAS
Sebelum dibawa ke bilik darjah, suhu badan mereka diperiksa lagi.
Semua langkah keselamatan ini dilaksanakan mengikut garis panduan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).
Di dalam kelas juga, jarak selamat diamalkan.
Malah guru-guru juga cuba menerapkan contoh menjaga kebersihan dan mencegah penyakit supaya ia menjadi sebahagian dari amalan seharian kanak-kanak.
Dua ibu yang ditemui BERITAmediacorp berkata mereka yakin dengan prosedur keselamatan yang dilaksanakan.
"Dari aspek keselamatan, saya memang tidak fikir apa-apa sebab sekolah memang sudah menjaga dengan ketat sejak dari dulu sebelum virus korona melanda," kata Cik Juliana Mansor.
Seorang lagi ibu Cik Khadijah Abdullah Ibrahim berkata beliau pasti pihak sekolah telah mengambil semua langkah yang diperlukan dan guru besar sering memaklumkan para ibu bapa dengan maklumat terkini.
BAHAN PEMBELAJARAN DISEDIAKAN BAGI ANAK-ANAK YANG KEKAL DI RUMAH
Namun ada ibu bapa yang masih belum bersedia untuk menghantar anak mereka semula ke sekolah.
Oleh itu pihak tadika menyediakan bahan-bahan yang boleh mereka ikuti di rumah agar tidak ketinggalan.
"Kami menyediakan bahan pembelajaran dari rumah untuk mereka agar ibu bapa dapat juga teruskan pelajaran mereka di rumah agar mereka tidak ketinggalan.
"Pada masa yang sama, guru-guru akan tetap berhubungan rapat dengan ibu bapa untuk mendapat lebih maklumat tentang sama ada mereka sudah sedia untuk ke sekolah, dan sama ada mereka ada masalah dengan pembelajaran dari rumah," jelas Naib Pengetua Tadika Masjid Mujahidin Zalinna Umas.
Oleh kerana masjid ini turut dibuka semasa solat Zohor dan Asar, pintu keluar berasingan untuk murid dan jemaah disediakan, selain pembasmian kuman dilakukan secara kerap di premis.
PREMIS MASJID DIBERSIHKAN BEBERAPA KALI DALAM SEHARI
Pengerusi Masjid Mujahidin Muhammad Khairul Jameel Yahya berkata noja akan melakukan pembersihan setiap kali selepas habis waktu solat.
"Begitu juga tadika. Di bawah piawaan ECDA, guru-guru dikehendaki memastikan kebersihan kelas dan untuk membersihkan barangan-barangan yang digunakan selalu di dalam kelas", kata beliau.
Sekitar 190 murid akan kembali ke pusat tadika ini apabila kelas peringkat asuhan N1 dan N2 dibuka semula pada 8 Jun nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.