Skip to main content

Iklan

Iklan

Syarikat penerbangan Asia berharap kesan Omicron hanya sementara

Penemuan dan penularan varian terbaru COVID-19 Omicron memberi tamparan kepada sektor penerbangan yang baru hendak menghela nafas lega berikutan pelonggaran sekatan perjalanan antarabangsa di Asia Pasifik.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat penerbangan Asia berharap kesan Omicron hanya sementara

Para pelawat tiba di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne, pada 29 November 2021. (Gambar: William WEST/AFP)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 04:59PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 05:08PM

SYDNEY: Penemuan dan penularan varian terbaru COVID-19 Omicron memberi tamparan kepada sektor penerbangan yang baru hendak menghela nafas lega berikutan pelonggaran sekatan perjalanan antarabangsa di Asia Pasifik.

Syarikat-syarikat penerbangan kini berusaha membendung kesan varian Omicron yang diharapkan hanya berbentuk sementara.

Jumlah penumpang antarabangsa di Asia-Pasifik pada bulan Oktober mencapai 5.4 peratus kadar yang dicatatkan sebelum pandemik, rekod paling rendah berbanding mana-mana rantau di dunia. Negara-negara seperti Australia, Jepun, Thailand dan Singapura yang baru sahaja melonggarkan perjalanan ke negara masing-masing pada November, mengorak langkah untuk memperlahankan penularan Omicron apabila varian baru itu dikesan lewat bulan yang sama.

"Sebelum Omicron, kami lihat banyak negara membuka semula sempadan," kata Campbell Wilson, ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan tambang murah Scoot, di satu acara di Pusat Penerbangan CAPA pada Selasa (7 Dis).

"Sejak itu, semuanya terhenti," katanya lagi.

Jepun melarang kemasukan pelawat asing ke negara itu, pelancong ke Amerika Syarikat perlu mengambil ujian COVID-19 24 jam sebelum berlepas, manakala pelawat ke Singapura pula harus menjalani ujian harian COVID-19 pada minggu pertama ketibaan.

Pengesanan varian Omicron adalah satu tamparan kepada syarikat penerbangan umumnya selepas varian Delta muncul di India dan menular ke seluruh dunia. Namun, sejak itu kadar vaksinasi sudah meningkat dan pakar kesihatan sedang meneliti sama ada varian baru ini menyebabkan penyakit yang serius seperti varian-varian yang lain.

"Kami masih belum tahu jika varian Omicron ini akan menjejas rancangan pemulihan sektor penerbangan atau hanya kegenjotan sementara sahaja," jelas Ketua Pengarah Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik, Subhas Menon. "Menurut apa yang kami perhatikan sekarang, varian Omicron hanya halangan sementara sahaja dan rancangan kami masih boleh diteruskan."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan