Skip to main content

Syarat ujian COVID-19 sebelum berangkat diperketat bagi lebih banyak negara, rantau

Syarat lebih ketat bagi ujian COVID-19 sebelum berangkat ke luar negara akan dikenakan ke atas lebih ramai pelawat yang memasuki atau melakukan persinggahan di Singapura mulai pukul 11.59 malam pada Khamis (9 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Syarat ujian COVID-19 sebelum berangkat diperketat bagi lebih banyak negara, rantau

Para petugas di Lapangan Terbang Changi.(Gambar fail: Changi Airport Group)

Diterbitkan : 05 Sep 2021 09:15PM Dikemas Kini : 05 Sep 2021 09:19PM

SINGAPURA: Syarat lebih ketat bagi ujian COVID-19 sebelum berangkat ke luar negara akan dikenakan ke atas lebih ramai pelawat yang memasuki atau melakukan persinggahan di Singapura mulai pukul 11.59 malam pada Khamis (9 Sep).

Ini termasuk rakyat Singapura dan penduduk tetap, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media hari ini.

Semua pelawat yang tiba di Singapura dari negara atau rantau dalam Kategori II, III dan IV akan dikehendaki menunjukkan keputusan negatif ujian rantaian tindak balas polimerase (PCR) COVID-19 yang dilakukan 48 jam sebelum berangkat ke Singapura.

MOH menyatakan para pelawat sedemikian tetap perlu menjalani ujian PCR setibanya di Singapura, menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan rejim ujian serta satu lagi ujian sebelum tempoh SHN berakhir.

  • Kategori I: Hong Kong, Macao, Tanah Besar China dan Taiwan
  • Kategori II: Australia, Brunei, Kanada, Jerman, New Zealand and Korea Selatan
  • Kategori III: Austria, Belgium, Croatia, Denmark, Mesir, Finland, Itali, Jepun, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Arab Saudi, Sweden dan Switzerland
  • Kategori IV: Semua negara dan rantau lain

Sebelum ini, para pelawat dari negara atau rantau dalam Kategori III dan IV dikehendaki menunjukkan keputusan negatif ujian PCR yang diambil 72 jam sebelum berangkat ke Singapura.

Ini untuk mengurangkan risiko mengimport COVID-19, menurut MOH.

LANGKAH-LANGKAH SEMPADAN YANG DISESUAIKAN

MOH juga menyatakan bahawa ia sudah menyemak semula situasi COVID-19 di Korea Selatan dan akan menyesuaikan langkah-langkah sempadan Singapura sewajarnya.

Mulai pukul 11.59 malam pada 9 September, para pelawat yang memasuki atau melakukan transit melalui Singapura, dengan sejarah perjalanan ke Korea Selatan dalam tempoh 21 hari sebelum itu akan dikehendaki menunjukkan keputusan negatif ujian PCR COVID-19 yang diambil 48 jam sebelum berangkat ke Singapura.

Para pelawat yang memasuki Singapura juga perlu menjalani ujian PCR COVID-19 sejurus tiba di Singapura, menjalani SHN sepanjang tujuh hari di kediaman mereka dan satu lagi ujian PCR sebelum tempoh SHN berakhir.

Menyusuli satu semakan tentang "situasi COVID-19 yang berubah-ubah" di kawasan-kawasan tersebut, MOH menyatakan ia juga menyesuaikan langkah-langkah sempadan Singapura bagi Croatia, Mesir, Finland, Malta, Belanda, Poland, Arab Saudi dan Sweden.

Para pelawat yang sudah lengkap divaksin dari negara-negara tersebut boleh membuat permohonan untuk tidak menjalani SHN di kemudahan yang ditetapkan dan sebaliknya menjalani SHN selama 14 hari di kediaman yang sesuai mengikut pilihan mereka mulai pukul 11.59 malam pada 9 September.

Permohonan-permohonan akan diambil kira sekiranya para pelawat yang sudah divaksin menetap di negara-negara tersebut untuk tempoh 21 hari sebelum berangkat ke Singapura.

Para pelawat juga mesti tinggal seorang diri di kediaman masing-masing atau mana-mana kediaman yang sesuai atau hanya dengan anggota keluarga yang sudahpun divaksin yang sedang menjalani SHN dengan sejarah perjalanan dan tempoh SHN yang sama.

Para pelawat yang belum divaksin dikehendaki menjalani SHN selama 14 hari di kemudahan-kemudahan SHN yang ditetapkan.

"Sedang situasi global berubah-ubah, kami akan terus menyesuaikan langkah-langkah sempadan sejajar dengan perjalanan kami untuk menjadi negara yang berdaya bingkas terhadap COVID," tambah MOH.

Sebarang perubahan kepada langkah-langkah sempadan akan dikemas kini di laman SafeTravel.

MOH menasihatkan para pelawat supaya melungsuri laman tersebut untuk mendapatkan langkah-langkah sempadan yang terkini bagi sesebuah negara atau rantau sebelum memasuki Singapura dan bersedia untuk dikenakan langkah-langkah sempadan sedia ada setibanya di sini.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita