Skip to main content

Sukan

Yeo Jia Min cipta sejarah jadi warga SG pertama layak ke peringkat kalah mati acara badminton perseorangan di Sukan Olimpik

Anggaran Waktu Membaca:
Yeo Jia Min cipta sejarah jadi warga SG pertama layak ke peringkat kalah mati acara badminton perseorangan di Sukan Olimpik

(Gambar: SNOC/Kong Chong Yew)

Diterbitkan : 31 Jul 2024 07:44AM Dikemas Kini : 31 Jul 2024 08:37AM
PARIS: Yeo Jia Min mungkin bukan menjadi tumpuan untuk memecahkan rekod, tetapi dia mencipta sejarah pada Selasa (30 Julai) dengan menjadi warga Singapura yang pertama yang layak ke peringkat kalah mati acara badminton perseorangan di Sukan Olimpik, dalam tempoh lebih sedekad.

Di Arena Porte de La Chapelle, pemain nombor 20 dunia itu berjaya mengalahkan pemain tangga ke 93 dunia, Kate Foo Kune dari Mauritius,21-12, 21-6 dalam masa hanya 26 minit saja.

"Saya sebenarnya tidak tahu rekodnya tetapi saya sangat berbesar hati untuk mewakili Singapura di pentas besar ini dan saya akan terus memberikan 100 peratus," Yeo memberitahu para wartawan di Paris.

Ini merupakan kemenangan kedua pemain 25 tahun ini di Sukan Olimpik Paris selepas dia menumpaskan juga lawan kelahiran Iran, Dorsa Yavarivafa dari pasukan Pelarian Olimpik pada Sabtu lalu.

Kedua-dua kemenangan itu meletakkan Yeo di tangga teratas kumpulannya.

Ini merupakan penampilan kedua Yeo di Sukan Olimpik, di mana dia tersingkir dalam peringkat kelayakan di Tokyo, tiga tahun lalu.

"Setiap hari adalah satu keajaiban. Bangkit daripada kecederaan, setiap hari saya berpandangan positif dan terus berkembang sebagai seorang manusia. Saya rasa perjalanan ini amat berharga," kata Yeo lagi.

"Tidak kira apapun, saya akan menghargai setiap detik dan gembira kali ini saya dapat melakukan yang lebih baik berbanding sukan olimpik sebelum ini."

Rakyat Singapura itu akan berdepan dengan atlet Jepun, pemain nombor 10 dunia, Aya Ohori, seseorang yang pernah Yeo kalahkan sebelum ini.

"Apa saja boleh berlaku," kata Yeo. "Saya berharap akan dapat bermain dengan bebas di gelanggang dan memberikan yang terbaik tanpa rasa menyesal."
Sumber : CNA/AA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita