Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Visa Djokovic dibatalkan sekali lagi

Anggaran Waktu Membaca:
Visa Djokovic dibatalkan sekali lagi

Novak Djokovic menghadiri sesi latihan sebelum Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne pada 14 Januari 2022. (Gambar: Martin Keep/AFP)

Diterbitkan : 14 Jan 2022 05:06PM Dikemas Kini : 14 Jan 2022 05:06PM

MELBOURNE: Pemerintah Australia membatalkan visa Novak Djokovic buat kali kedua pada Jumaat (14 Jan) sedang ia berusaha untuk menghantar pulang bintang tenis itu selepas Djokovic tiba di negara tersebut tanpa divaksin. 

Menteri Imigresen Alex Hawke menegaskan bahawa tindakan beliau itu adalah demi "kesihatan dan kepentingan awam".

Pemerintah pimpinan Perdana Menteri Scott Morrison "sangat komited untuk melindungi sempadan Australia, terutama sekali berhubung pandemik COVID-19," menurut Encik Hawke dalam kenyataannya. 

Pembatalan tersebut bermakna  Djokovic akan dilarang daripada mendapatkan visa baru Australia selama tiga tahun, kecuali bagi keadaan tertentu. 

Keputusan pemerintah Australia itu menggugat peluang pemain tenis nombor satu dunia itu untuk menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Australia buat kali ke-10 dan kemenangan Grand Slam yang ke-21 bagi pemain yang berasal dari Serbia itu. 

Djokovic merupakan pilihan utama kejohanan tersebut dan beberapa jam sebelum pengumuman itu beliau sedang berlatih di gelanggang  Melbourne Park. 

Bintang tenis itu tiba di lapangan terbang Melbourne pada 5 Januari dan mendakwa beliau diberikan pengecualian vaksin setelah hasil ujian PCR yang dijalaninya positif pada 16 Disember. 

'Semuanya badut' 

Para pengawal sempadan menolak pengecualian tersebut dan mengoyakkan visa beliau sebelum menempatkannya di sebuah pusat tahanan di Melbourne di mana beliau bermalam di sana selama empat malam.

Menurut pemerintah Australia, jangkitan baru-baru ini tidak melayakkan seseorang warga asing untuk diberikan pengecualian vaksin untuk memasuki negara tersebut. 

Pasukan peguam Djokovic bagaimanapun berjaya mengubah keputusan visa itu kerana para pengawal sempadan di lapangan terbang gagal memberikannya masa yang dipersetujui untuk  memberikan respons yang sewajarnya. 

Tengkarah visa Djokovic mencetuskan perbahasan politik yang sengit di Australia, yang sudah bergelut selama hampir dua tahun untuk menguatkuasakan sekatan-sekatan yang disifatkan sebagai antara yang paling ketat di dunia. 

Sesetengah pemain tenis berpendapat bahawa Djokovic seharusnya dibenarkan untuk bertanding dalam kejohanan tersebut.

Sungguhpun demikian, tidak semua yang menyokong pandangan tersebut. Antaranya ialah pemain nombor empat dunia Stefanos Tsitsipas yang menyelar tingkah laku Djokovic.

"Jelas sekali Djokovic bertindak mengikut kehendaknya sendiri," kata Tsitsipas dalam wawancaranya bersama stesen penyiaran India, WION.

Hampir setiap pemain yang bakal bertanding dalam Kejohanan Terbuka Australia sudah divaksin, kata Tsitsipas.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah pemain yang "memilih untuk mengikut cara mereka sendiri yang menyebabkan kami kelihatan seperti badut".

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa