Vietnam tambah empat sukan baru di Sukan SEA 2021
Tuan rumah Sukan SEA 2021, Vietnam bersetuju untuk memasukkan empat lagi sukan - triatlon, boling, jiu jitsu dan e-sukan - dalam program sukan serantau dwitahunan itu, menurut laporan media Vietnam.

(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Tuan rumah Sukan SEA 2021, Vietnam bersetuju untuk memasukkan empat lagi sukan - triatlon, boling, jiu jitsu dan e-sukan - dalam program sukan serantau dwitahunan itu, menurut laporan media Vietnam.
Portal berita VnExpress International melaporkan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) meluluskan sukan berkenaan dalam mesyuarat secara dalam talian untuk temasya sukan di Hanoi itu, dijadualkan berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis tahun hadapan.
Portal itu turut melaporkan enam acara akan dipertandingkan di bawah esukan, antaranya Dota 2, Arena of Valor dan Pro Evolution Soccer yang merupakan tiga permainan kegemaran ramai.
Awal tahun ini, Vietnam sudah menyenaraikan 36 sukan, jauh lebih rendah daripada 56 sukan dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina menyebabkan negara lain merayu supaya 22 sukan dimasukkan kembali.
Sebanyak 36 sukan yang disenaraikan oleh Vietnam adalah olahraga, akuatik (renang dan terjun), memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kanu, berbasikal (lebuh raya dan basikal bukit), sukan tarian, lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, bola baling, bola tampar, judo, karate, mendayung, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, angkat berat dan gusti.
Turut tersenarai acara snuker dan biliard, catur/xiangqi (catur China), futsal, Muay Thai, pencak silat, petanque, sepak takraw, renang sirip, bina badan, wushu, kurash, kick boxing dan vovinam (seni pertahan diri Vietnam).
Vietnam menjadi tuan rumah Sukan SEA sebelum ini pada 2003 dan muncul juara keseluruhan dengan 158 pingat emas, 97 perak dan 91 gangsa sementara edisi 2019 di Filipina, Vietnam menduduki tempat kedua dengan pungutan pingat 98-85-105.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.