Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Victoria, Australia sah tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Anggaran Waktu Membaca:

MELBOURNE: Wilayah Victoria, Australia akan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, lapor Reuters. Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews mengesahkan demikian pada Selasa (12 April).

"Ia adalah satu penghormatan bagi Victoria dipilih sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 - kami tidak sabar untuk menyambut seluruh dunia ke negeri kami," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Encik Andrews, kejohanan tersebut tidak akan diadakan di ibu kota Melbourne.

Sebaliknya acara-acara Sukan Komanwel 2026 akan diadakan di empat bandar iaitu, Geelong, Ballarat, Bendigo dan Gippsland.

Menurut laporan AFP, upacara perasmian bagaimanapun akan diadakan di stadium sukan terbesar Australia, Melbourne Cricket Ground, yang boleh memuatkan lebih 100,000 penonton.

Wilayah itu mengesahkan 16 sukan dipertandingkan untuk temasya itu setakat ini, termasuk akuatik, berbasikal dan kriket Twenty20, dengan pengumuman lanjut dijanjikan.

Sukan Komanwel 2026 adalah kejohanan yang keenam diadakan di Australia dan yang kedua di Victoria selepas Melbourne menganjurkan temasya itu pada 2006.

Kali terakhir Australia menjadi tuan rumah Sukan itu ialah pada 2018 di Gold Coast, Queensland.

Sukan Komanwel 2026 dijangka memberi "suntikan AUD$3 bilion (S$3.04 bilion) kepada ekonomi Victoria", yang terpaksa mengharungi sekatan yang lama semasa pandemik COVID-19.

Temasya sukan yang diadakan setiap empat tahun itu, menarik lebih 4,000 atlit dari 54 negara Komanwel, yang hampir kesemuanya adalah negara bekas jajahan empayar British.

Sukan Komanwel tahun ini bakal berlangsung di Birmingham, England dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan