Skip to main content

Sukan

Verstappen ungguli GP Azerbaijan

Anggaran Waktu Membaca:
Verstappen ungguli GP Azerbaijan

Juara bertahan Formula 1 Max Verstappen memenangi Grand Prix (GP) Azerbaijan pada 21 September 2025. (Gambar: Alexander NEMENOV / AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2025 09:01AM Dikemas Kini : 22 Sep 2025 09:22AM
BERLIN: Juara bertahan Formula 1 Max Verstappen memenangi Grand Prix (GP) Azerbaijan pada Ahad (21 Sep), manakala pendahulu kejuaraan Oscar Piastri terlibat kemalangan pada pusingan pertama, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Verstappen yang bermula dari petak utama mengekalkan kedudukan di depan sepanjang perlumbaan, sekali gus meraih kemenangan berturut-turut selepas kejayaannya di GP Itali dua minggu lalu.

Pemandu Red Bull itu kini berada di kedudukan ketiga dalam senarai keseluruhan, 69 mata di belakang Piastri, sekali gus kembali bersaing dalam perebutan kejuaraan musim ini yang masih berbaki tujuh perlumbaan.

George Russell daripada Mercedes menamatkan perlumbaan di tempat kedua diikuti dengan Carlos Sainz, yang menutup hujung minggu cemerlang dengan podium pertamanya sejak GP Abu Dhabi 2024 ketika beliau masih bersama Ferrari.

Piastri pula didapati memulakan perlumbaan lebih awal sebelum enjin terhenti dan kereta lain memintasnya semasa beliau cuba menghidupkan semula sistem.

Sebaik sahaja beliau kembali di trek, Piastri terbabas di selekoh kelima dan merempuh penghadang.

Pemandu McLaren itu hanya bermula dari petak kesembilan selepas terlibat dalam kemalangan di penghujung sesi kelayakan pada Sabtu.

Rakan sepasukan Piastri yang juga pencabar kejuaraan, Lando Norris, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh selepas masalah di hentian pit menjejas peluangnya meraih podium.
Sumber : Bernama/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita