Skip to main content

Sukan

Usaha Real Madrid mencari pengganti Ronaldo lebih sukar dari jangkaan

Apabila Real Madrid melepaskan bintang bolasepak Cristiano Ronaldo pada Julai, peminat dan media tempatan bertanya soalan yang sama: bagaimana untuk mencari penggantinya?

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha Real Madrid mencari pengganti Ronaldo lebih sukar dari jangkaan

Cristiano Ronaldo dalam satu perlawanan menentang Man U (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 26 Oct 2018 10:48PM Dikemas Kini : 26 Oct 2018 10:51PM

MADRID: Apabila Real Madrid melepaskan bintang bolasepak Cristiano Ronaldo pada Julai, peminat dan media tempatan bertanya soalan yang sama: bagaimana untuk mencari penggantinya?

Ronaldo merupakan penjaring gol terbanyak bagi Real, dengan 451 gol dijaringkan dalam 438 perlawanan. Beliau juga memimpin pasukannya menjulang empat kejuaraan Liga Juara-Juara.

Meskipun demikian, kelab itu menegaskan bahawa pihaknya tidak perlu membeli pemain baru dan jawapannya ada di dalam pasukan yang ada sekarang.

Gareth Bale yang pada 2013 dibeli pada harga rekod ketika itu 85.3 juta paun (S$151.4 juta) dari Tottenham Hotspur, Karim Benzema dan bakat muda Marco Asensio, 22 tahun, semuanya dikatakan berpotensi menjadi tunjang serangan baru Real Madrid.

Pada awalnya, jangkaan itu seakan-akan tepat. Real mencatat empat kemenangan dan satu keputusan seri dalam lima perlawanan pertama mereka bagi kejuaraan La Liga. Ketiga-tiga pemain menjaringkan lapan daripada 12 gol pasukan itu.

Namun menyusuli kemenangan 1-0 mereka ke atas Espanyol pada September, Real gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan.

Ini tidak pernah berlaku semasa Ronaldo bermain untuk pasukan itu. Ketandusan gol yang dialami sekarang sama seperti yang dialami Real sejurus sebelum pemain asal Portugal itu menyertai kelab tersebut pada 2009.

Kini mereka corot ke tempat ketujuh dalam La Liga, di belakang pasukan Valladolid yang baru disertakan dalam liga tersebut. Jurulatih baru Julen Lopetegui yang ketika mengambil alih Real meramalkan Ronaldo akan menjadi pemain utama pasukan, semakin menghadapi tekanan.

Buat pertama kali dalam 11 tahun, perlawanan sengit antara Real dengan Barcelona Ahad ini tidak akan menampilkan Ronaldo mahupun Lionel Messi. Tiba masa untuk Real membuktikan ia benar-benar masih ada semangat berjuang tanpa Ronaldo. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita