UEFA tuduh FIFA 'jual maruah'; bantah pelan tubuh anak syarikat bernilai AS$20 bilion
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan pada Selasa (28 Jul) bahawa ia sedang merancang untuk menubuhkan sebuah anak syarikat bernilai AS$20 bilion (S$25.83 bilion) untuk menguruskan Piala Dunia FIFA serta kejohanan lain yang dianjurkannya.
Petugas membawa turun logo FIFA ke padang sebelum perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dengan Argentina di Stadium New York/New Jersey, East Rutherford, New Jersey, Amerika Syarikat, pada 19 Julai 2026. (Gambar Fail: REUTERS/Mike Segar)
- FIFA mengumumkan rancangan menubuhkan anak syarikat bernilai AS$20 bilion untuk menguruskan Piala Dunia dan kejohanan lain, serta menawarkan pegangan minoriti kepada pelabur luar seperti Thrive Eternal.
- Langkah ini mendapat bantahan keras daripada UEFA dan tokoh lain yang menuduh FIFA menjual maruah bola sepak dan menggadaikan masa depan sukan tersebut.
- FIFA menegaskan dana yang diperoleh akan digunakan untuk pembangunan bola sepak global, termasuk pembiayaan kepada persatuan anggota bagi prasarana, latihan dan bola sepak wanita.
- Cadangan ini dijangka merenggangkan lagi hubungan FIFA dan UEFA, dengan keputusan muktamad akan dibuat oleh Majlis FIFA selepas dibentangkan kepada 211 persatuan anggota.
FIFA juga bercadang untuk menawarkan pegangan sehingga 20 peratus dalam syarikat tersebut kepada para pelabur luar.
Langkah itu mencetuskan bantahan keras daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), yang menuduh badan induk bola sepak dunia itu menjual "maruah" sukan berkenaan.
Di bawah cadangan tersebut, FIFA akan menubuhkan FIFA Forward Enterprise (FFE) untuk menyelia "operasi komersial dan penganjuran acara".
FIFA, yang baru sahaja menganjurkan Piala Dunia FIFA 2026 dengan 48 pasukan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, akan mengekalkan kawalan ke atas syarikat berkenaan.
Namun, ia akan menawarkan pegangan minoriti kepada para pelabur swasta bagi menjana sehingga AS$4.2 bilion (S$5.43 bilion).
FIFA memaklumkan bahawa sebuah syarikat pelaburan yang diasaskan Joshua Kushner, adik kepada Jared Kushner, menantu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dijangka menerajui kumpulan pelabur tersebut.
Cadangan itu dijangka terus merenggangkan lagi hubungan antara FIFA yang berpangkalan di Switzerland dengan UEFA.
UEFA menyifatkan dirinya sebagai penjaga warisan bola sepak, manakala FIFA, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan akses kepada sukan tersebut menerusi pembiayaan yang lebih besar.
FIFA merupakan antara organisasi sukan terkaya di dunia, dengan menjana pendapatan berbilion dolar, sebahagian besarnya menerusi hak penyiaran, penajaan dan perjanjian komersial berkaitan Piala Dunia FIFA.
Bagaimanapun, FIFA berkata cadangan itu akan membolehkannya meningkatkan dana untuk memperluaskan akses kepada bola sepak serta mengukuhkan penyertaan di peringkat global.
Menurutnya, semua keuntungan bersih daripada langkah tersebut akan dilaburkan semula bagi pembangunan sukan itu.
"Bola sepak ialah sukan paling popular di dunia dan merupakan pemacu luar biasa kepada pembangunan insan dan sosial," kata Presiden FIFA Gianni Infantino dalam satu kenyataan.
"Sebahagian daripada dunia bola sepak berjaya menukar populariti itu kepada nilai komersial yang luar biasa dan kami meraikan kejayaan tersebut dan mahu ia diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada keseluruhan sukan ini.
"Tugas kami adalah untuk memastikan seluruh ekosistem bola sepak turut berkembang. FIFA wujud untuk menyokong pembangunan yang mampan dan inklusif di setiap pelosok dunia."
FIFA menegaskan ia akan terus mengekalkan kawalan penuh ke atas anak syarikat tersebut serta "kuasa eksklusif" dalam urusan tadbir urus bola sepak, penganjuran pertandingan, kalendar perlawanan serta semua keputusan berkaitan peraturan dan sukan.
KRITIKAN HEBAT DARIPADA UEFA DAN PIHAK LAIN
Cadangan itu mengundang kecaman hebat daripada UEFA, yang menuduh langkah berkenaan "melangkaui batas yang tidak sepatutnya dilanggar oleh badan pentadbir bola sepak."
"UEFA memandang serius terhadap perkara ini. Begitu juga harus dilakukan oleh setiap persatuan bola sepak kebangsaan. Begitu juga semua pihak berkepentingan termasuk liga, kelab, pemain, penyokong, pemerintah dan sesiapa sahaja yang mengambil berat tentang masa depan bola sepak.
"Maruah dan tadbir urus bola sepak bukanlah aset untuk diperdagangkan, lebih-lebih lagi tanpa ketelusan tentang siapa yang akan meraih keuntungan dari segi kewangan. Tiada sesiapa pun yang memiliki bola sepak. Ia bukan milik FIFA untuk dijual."
Hubungan antara UEFA dengan FIFA semakin tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Presiden UEFA Aleksander Ceferin turut memboikot perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas beberapa pertikaian tercetus berkaitan prosedur disiplin, pengurusan pengadil dan operasi perlawanan.
Jurucakap FIFA berkata cadangan itu akan dibentangkan kepada 211 persatuan yang merupakan anggotanya serta Majlis FIFA, yang akan menjadi pihak tunggal yang boleh membuat keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.
FIFA menegaskan bahawa dana yang diperoleh akan digunakan untuk mewujudkan satu pilihan bagi program yang membolehkan setiap persatuan yang merupakan anggotanya mengakses sehingga AS$20 juta (S$25.83 juta) sebagai pembiayaan sekali sahaja.
Dana itu boleh digunakan bagi pembangunan prasarana, latihan kejurulatihan, pasukan kebangsaan, pertandingan, perlawanan bola sepak akar umbi serta bola sepak wanita.
Jumlah tersebut akan meningkat kepada AS$24 juta (S$31 juta) bagi kitaran 2035 hingga 2038.
Encik Infantino, yang akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden FIFA pada tahun depan, berkata setiap persatuan anggota sepatutnya mempunyai peluang untuk memperoleh bahagian yang adil daripada dana yang tersedia bagi membentuk masa depan masing-masing.
"Ini berkaitan dengan demokrasi bola sepak di seluruh dunia," katanya.
Perdana Menteri Britain Andy Burnham turut menyertai pihak yang mengkritik cadangan tersebut.
Beliau berkata di media sosial bahawa bola sepak bukan hak milik para pelabur.
"Piala Dunia FIFA bukan satu produk. Ia adalah kejohanan terbesar dalam dunia sukan dan tidak pernah menjadi milik sesiapa untuk dijual," tulis Encik Burnham di platform X.
"Walau bagaimana sekali pun anda cuba memperindahkan perjanjian ini, apabila anda menjual sebahagian daripadanya, anda sebenarnya telah menggadaikannya."
Profesor Kewangan Universiti Notre Dame yang mengkaji ekonomi sukan, Richard Sheehan, menyifatkan cadangan itu sebagai satu "usaha mengaut keuntungan" oleh kepimpinan FIFA ketika ini.
"Bagi sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang mahu menjadikan bola sepak dapat diakses semua orang, langkah ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal," kata beliau.
PELABUR LUAR
Menurut FIFA, ia sedang bekerjasama dengan bank pelaburan JPMorgan untuk mendapatkan pelabur luar.
Ia turut menambah bahawa mantan Ketua Pegawai Eksekutif Liberty Media, Greg Maffei, juga terlibat sebagai penasihat komersial.
Thrive Eternal, strategi pelaburan baharu yang diasaskan Joshua Kushner di bawah firma modal teroka Thrive Capital, dijangka menerajui kumpulan pelabur tersebut.
Sebagai dana modal kekal yang memberi tumpuan kepada pelaburan jangka panjang dalam francais dan institusi kebudayaan, Thrive Eternal mengambil pegangan minoriti dalam pasukan besbol San Francisco Giants tahun ini.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Walt Disney, Bob Iger, turut berkhidmat sebagai penasihat.
Menurut satu sumber, Encik Jared Kushner bukan antara pihak yang dijangka melabur dalam usaha tersebut.
JPMorgan dan Encik Joshua Kushner enggan mengulas, manakala Encik Maffei belum memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
"Pelabur luar hanya akan memiliki pegangan minoriti dalam FFE dan tidak akan memainkan sebarang peranan dalam operasi.
"Mereka juga melabur dalam anak syarikat FIFA, bukannya FIFA sendiri. Bagi FIFA, tiada apa-apa yang berubah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.