Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ucapan takziah mencurah-curah susuli pemergian personaliti bola sepak M'sia Shebby Singh

Anggaran Waktu Membaca:
Ucapan takziah mencurah-curah susuli pemergian personaliti bola sepak M'sia Shebby Singh

(Gambar: Football Association of Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 13 Jan 2022 05:23PM Dikemas Kini : 13 Jan 2022 05:23PM

KUALA LUMPUR: Ucapan takziah kepada keluarga bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia Serbegeth Singh datang mencurah-curah menyusuli pemergiannya pada Rabu malam (12 Jan). 

Dikenali ramai sebagai Shebby Singh, bintang dan penganalisis bola sepak yang berusia 61 tahun itu meninggal dunia semasa berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri. Pihak berkuasa sejauh ini belum mengesahkan punca kematiannya. Namun, media tempatan melaporkan bahawa Singh dipercayai mengalami serangan jantung. 

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Faizal Azumu menyifatkan pemergian Singh sebagai satu kejutan besar. 

"Kita kehilangan legenda sukan yang banyak menyumbang kepada negara ini. Ini adalah satu kejutan dan kehilangan yang teramat besar bagi kita semua," menurutnya di laman Twitter. 

Hos televisyen, John Dykes, yang biasanya menyampaikan rancangan di ESPN, Star Sports dan Fox Sports, bersama Singh berkata berita itu amat mendukacitakan.

"Sangat sedih mendengar bahawa teman dan rakan kerja Shebby Singh tidak akan bersama kita lagi," katanya dalam satu catatan di Facebook. 

"Akan tiba masanya untuk kita bercakap tentang minatnya yang mendalam tetapi buat masa ini, yang penting adalah kita memikirkan dan menghormati perasaan keluarganya terlebih dahulu. Bersemadi dengan tenang Shebs."

Singh yang berasal dari Kluang, Johor dilahirkan pada 20 Ogos 1960. Bakat sukannya dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan, yang mempunyai reputasi sebagai seorang jurulatih untuk anak muda. 

Bekas jurulatih Kuala Lumpur, mendiang S Subramaniam, berjaya meyakinkan Singh untuk berpindah ke ibu kota pada 1983 dan menyertai pasukan City Boys. 

Singh menyarungkan jersi kebangsaan buat pertama kalinya semasa Piala Presiden di Korea Selatan pada 1982 dan kemudian mewakili Malaysia dalam sebanyak 61 perlawanan. Perlawanan terakhirnya sebagai pemain bola sepak Malaysia adalah semasa negara itu menentang England di Stadium Merdeka pada 1991. 

Semasa bermain bersama Harimau Malaya dari 1982 ke 1992, Singh beraksi di tiga acara Sukan Asia - 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing) - dan Singh adalah sebahagian daripada pasukan yang memenangi pingat emas semasa Sukan SEA 1989 dan pingat gangsa semasa Sukan SEA 1985. 

Dalam arena bola sepak tempatan, Singh dikenali sebagai seorang pemain barisan pertahanan yang handal semasa mendiang bersama pasukan Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan, sebelum mencipta nama untuk dirinya sebagai personaliti televisyen, menjadi seorang penganalisis bola sepak, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, Fox Sports dan ESPN Asia. 

Semasa mendiang seorang pemain barisan pertahanan tengah bersama pasukan Kuala Lumpur, mendiang memenangi kejuaraan Liga Malaysia pada 1986 dan 1988, Piala Malaysia pada 2987, 1988 dan 1989 serta Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia pasa 1993 dan 1994

Selain daripada menjadi penasihat global bagi pasukan England Blackburn Rovers dari 2012 hingga 2013, Singh juga merupakan penasihat bagi pasukan bola sepak rancangan realiti MyTeam dan Malacca Telekom, serta penasihat teknikal Johor Darul Ta'zim (JDT). 

"Blackburn Rovers bersedih apabila mendapat tahu tentang permegian Shebby Singh," menurut catatan kelab tersebut di Facebook. "Kami mengucapkan salam takziah kepada keluarga dan sahabat handai Shebby."

JDT juga mengucapkan takziah kepada keluarga Singh. 

"Pasukan bola sepak JDT terkejut mendengar berita bahawa bekas Penasihat Teknikal JDT dan pemain Johor FA dan Malaysia Serbeth Singh sudah meninggal dunia," menurut catatan di akaun Twitter Johor Southern Tigers. 

"Keluarga JDT ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Serbegeth." 

Bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan turut berdukacita dengan pemergian Shebby, yang disifatkan sebagai rakan baiknya, sambil menambah bahawa pemergian itu adalah satu kehilangan besar untuk sukan bola sepak negara. 

"Kali terakhir kami berbual adalah kira-kira sebulan lalu apabila kami berbincang tentang kegagalan pasukan Harimau Malaya semasa Piala AFF 2020 di Singapura pada Disember," katanya. 

"Mendiang banyak memberi sumbangan, terutama sekali pendapat dan kritikan yang kadangkala tidak masuk akal, namun, semua itu untuk kebaikan bola sepak kita." 

Singh meninggalkan seorang balu dan dua orang anak. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa