Trump sekat visa, penyokong 15 negara mungkin terlepas saksikan Piala Dunia FIFA 2026
Seorang wanita melalui sebuah iklan bas bagi Piala Dunia FIFA 26 New York dan New Jersey di Rockefeller Center di New York City pada 23 Oktober 2025. (Gambar: Reuters/Shannon Stapleton)
Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan memo dalaman pada Rabu (14 Jan) yang mengarahkan para pegawai konsular supaya menolak visa daripada 75 buah negara. Ini dilakukan sedang jabatan tersebut menyemak semula prosedur saringan dan pemeriksaan pemohon.
Daripada 75 negara itu, 15 negara dijadual bertanding dalam kejohanan musim panas ini di Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada - termasuk salah satu pasukan kegemaran ramai, iaitu Brazil.
Apa yang mengejutkan, tiga daripada empat pasukan dalam Kumpulan C (kumpulan Scotland) terjejas akibat kekecohan visa ini. Brazil, Maghribi, dan Haiti semuanya termasuk dalam "senarai merah" Encik Trump, lapor The Daily Mail.
Ini bermakna stadium mungkin akan menjadi kosong untuk semua perlawanan peringkat kumpulan melibatkan Scotland, yang akan berlangsung di Foxborough (menentang Haiti dan Maghribi) dan Miami (perlawanan menentang Brazil).
Negara-negara lain yang turut terjejas dengan pelan mengejut ini termasuk Algeria, Cape Verde, Colombia, Ivory Coast, Mesir, Ghana, Iran, Jordan, Senegal, Tunisia, Uruguay, dan Uzbekistan.
Jabatan Negara dijangka akan melaksanakan pembekuan visa ini tanpa tempoh tamat bermula 21 Januari. Daily Mail sudah menghubungi FIFA untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang bagaimana peminat dari negara-negara tersebut akan terjejas.
Memo yang dihantar pada Rabu itu mengarahkan pegawai untuk menolak pemohon visa yang dilihat akan bergantung kepada bantuan awam (kebajikan) apabila masuk ke Amerika Syarikat. Pegawai juga diarahkan untuk menilai pelbagai faktor pemohon, termasuk kesihatan, umur, dan tahap penguasaan Bahasa Inggeris.
"Jabatan Negara akan menggunakan kuasa sedia ada untuk menolak pendatang asing yang berpotensi menjadi beban kewangan kepada Amerika Syarikat dan mengambil kesempatan daripada kemurahan hati rakyat Amerika," kata jurucakap Jabatan Negara, Tommy Piggott.
Beliau menambah bahawa kemasukan dari 75 negara ini akan dihentikan sedang prosedur diproses semula bagi menghalang warga asing yang mahu memanfaatkan bantuan kebajikan dan faedah awam. Pengecualian visa mungkin diberikan, tetapi ia "sangat terhad."
Tindakan pembekuan itu diumumkan ketika Encik Trump sedang menimbangkan pilihan untuk menyerang Iran menyusuli bantahan besar-besaran di sana. Presiden Trump memberi amaran pada Selasa bahawa jika pemimpin Iran meneruskan hukuman mati pada Rabu, beliau akan mengambil "tindakan yang keras."
Encik Trump dilaporkan sudah diberi taklimat sejak beberapa hari lalu mengenai pilihan tindakannya, termasuk kemungkinan menyerang lokasi bukan ketenteraan di Tehran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.