Tour de France 2026 akan bermula dengan ujian masa pasukan di Barcelona
Tour de France 2026 akan bermula dengan ujian masa pasukan dalam peringkat pembukaan buat pertama kali dalam sejarah perlumbaan itu, kata penganjur pada Selasa (25 Feb).

Sekumpulan pelumba basikal semasa peringkat keempat perlumbaan Tour de France yang bermula di Pinerolo, Itali dan berakhir di Valloire, Perancis, pada 2 Julai 2024. (Gambar: AP/Daniel Cole)
"Grand Depart" Tour de France 2026 akan berlangsung pada 4 Julai di Barcelona, Sepanyol. Ia bakal dimulakan dengan ujian masa pasukan bagi jarak 19.7 kilometer.
Peringkat tersebut akan menampilkan format yang diperkenalkan buat pertama kali di Paris-Nice 2023, di mana masa pasukan ditentukan oleh pelumba pertama yang melintasi garisan penamat.
Namun, masa klasifikasi am bagi individu adalah berdasarkan masa sebenar setiap pelumba.
Peringkat seterusnya juga berakhir di Barcelona selepas perjalanan sejauh 178km dari Tarragona, manakala peringkat ketiga bermula di Granollers, dengan format dan garisan penamat yang masih belum ditentukan.
"Ia adalah hari yang sangat istimewa bagi bandar Barcelona dan seluruh Catalonia. Terima kasih atas kepercayaan anda terhadap Barcelona," kata Datuk Bandar Barcelona, Jaume Collboni dalam satu sidang media.
"Akhirnya, bandar ini akan dikaitkan dengan acara ini untuk selamanya. Ini akan menjadi kemuncak kisah cinta antara Barcelona dan Tour."
Kali terakhir Tour bermula di Sepanyol adalah pada 2023 di Bilbao. Edisi 2025 perlumbaan berprestij tersebut akan bermula di bandar Lille, utara Perancis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.