Skip to main content

Sukan

Tottenham menang tipis 4-3 atasi Man United, mara ke separuh akhir Piala Liga

Anggaran Waktu Membaca:
Tottenham menang tipis 4-3 atasi Man United, mara ke separuh akhir Piala Liga

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Dec 2024 09:18AM Dikemas Kini : 20 Dec 2024 09:24AM
LONDON: Tottenham Hotspur menang tipis 4-3 ke atas Manchester United pada Khamis (20 Dis) untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga.

Pasukan pimpinan Ange Postecoglou kelihatan seperti akan menang dengan mudah semasa menentang United yang terkial-kial untuk menyaingi rentak permainan pasukan tuan rumah itu.

Ini terutama sekali selepas Dominic Solanke menyumbat dua gol dan Dejan Kulusevski menjaringkan lagi satu gol untuk memastikan Spurs mendahului permainan 3-0 selepas 54 minit.

Namun penyokong tuan rumah terpaksa 'gigit jari' selepas penjaga gawang Fraser Forster melakukan dua kesilapan, sekali gus membolehkan pemain gantian United, Joshua Zirkzee dan Amad Diallo, untuk memberi sinar harapan kepada pasukan itu.

Masih berbaki lagi 20 minit apabila Diallo merapatkan jurang 3-2 dengan United hampir-hampir menyamakan kedudukan sebelum kapten Spurs, Son Heung-min berjaya menjaringkan gol, mengelirukan penjaga gawang Altay Bayindir dari tendangan sudut.

Jonny Evans berhasil menanduk gol ketiga United pada masa kecederaan, namun Spurs menghela nafas lega selepas akhirnya berjaya menang tipis.

Spurs mengintai trofi pertamanya sejak 2008 semasa pasukan itu memenangi Piala Liga buat kali keempat.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita