Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Tok Mat akhirnya berundur dari Persatuan Sepak Takraw M'sia

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Ahmad Ismail mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden persatuan tersebut berkuat kuasa 12.00 tengah malam (5 Jun) setelah 18 tahun menerajui badan induk itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tok Mat akhirnya berundur dari Persatuan Sepak Takraw M'sia

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Ahmad Ismail. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Jun 2021 04:54PM Dikemas Kini : 05 Jun 2021 05:00PM

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Ahmad Ismail mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden persatuan tersebut berkuat kuasa 12.00 tengah malam (5 Jun) setelah 18 tahun menerajui badan induk itu.

Berita Harian Malaysia menukil beliau sebagai berkata bahawa keputusan itu diambil sebagai rasa tanggungjawab terhadap kemelut yang melanda PSM ketika ini.

"Pemimpin datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti namun PSM harus dipertahankan.

"Saya dengan penuh rasa tanggungjawab yang tinggi dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Presiden PSM yang sudah saya sandang sejak 27 Disember 2002 berkuat kuasa 12.00 tengah malam ini.

"Saya ambil kesempatan ini berterima kasih kepada semua ahli gabungan termasuk negeri yang tidak menyokong saya bermula dari tahun 2014 kerana memberi kerjasama yang baik dan sokongan kepada program serta kejohanan yang dilaksanakan PSM termasuk STL (Liga Sepak Takraw).

"Masalah saya dengan ASTAF (Persekutuan Sepak Takraw Asia) biar mahkamah tentukan," Encik Ahmad, yang juga mesra disapa 'Tok Mat', ditukil sebagai berkata ketika mengumumkan perkara itu dalam program temu bual yang disiarkan secara langsung di Astro Arena pada Jumaat (4 Jun).

Encik Ahmad pada 5 Mei lalu dikenakan penggantungan selama 15 tahun oleh ASTAF dan didenda AS$25,000 (S$33,100) menyusuli tindakannya selaku timbalan presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu yang dilihat melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Penggantungannya kemudian ditambah dua tahun lagi selepas beliau gagal membayar kos perbicaraan selain tidak mengemukakan rayuan selepas tempoh ditetapkan, lapor Berita Harian Malaysia.

PSM turut diheret atas tindakan Ahmad itu apabila badan induk berkenaan dikenakan hukuman penyingkiran daripada ASTAF berkuat kuasa serta-merta pada 20 Mei lalu.

Badan induk itu turut didenda AS$15,000 (S$19,900) dan tambahan AS$2,000 (S$2,650) sekiranya ingin membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan.

Kemelut PSM semakin parah apabila 11 ahli gabungan membuat keputusan untuk menarik diri daripada badan induk berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia.

Anggota-anggota gabungan iu termasuk Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT).

Turut mengumumkan keputusan untuk menarik diri ialah Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS), Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Sabah (ASTAKA).

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan